Monday, May 20, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Daycare disaran miliki lesen sah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Berikutan aduan daripada orang ramai mengenai dengan pusat penjagaan kanak-kanak didapati ada di antaranya tidak memiliki lesen.

    Sehubungan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) ingin mengingatkan orang ramai untuk sentiasa memastikan bahawa mana-mana premis yang menyediakan khidmat penjagaan anak supaya mematuhi Akta Pusat Penjagaan Kanak-Kanak (Penggal 218) dan berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

    Ini adalah untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak kerana setiap perlesenan dipantau dan dikawal oleh setiap agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

    Menurut kenyataan, KKBS melalui JAPEM, setakat 9 Mei 2024, 74 Pusat Penjagaan Kanak-kanak di seluruh negara yang sah berdaftar dan berlesen di bawah JAPEM. Senarai pusat-pusat penjagaan kanak-kanak tersebut boleh didapati dengan melayari laman sesawang JAPEM www.japem.gov.bn atau dengan menimbas kod QR.

    Peraturan Pusat Penjagaan Kanak-kanak di bawah Akta Pusat Penjagaan Kanak-kanak (Penggal 218) menggariskan peraturan-peraturan bagi mengawal dan menjamin keselesaan dan keselamatan kanak-kanak.

    Bagi setiap pusat yang berdaftar dan berlesen, pemohon dan kakitangan di pusat berkenaan yang telah lulus tapisan keselamatan dan tapisan jenayah daripada agensi-agensi keselamatan yang berkenaan, dan telah diperiksa kesihatan sebelum dibenarkan bekerja; dan dikehendaki menyediakan program untuk kanak-kanak yang bertujuan untuk menyokong perkembangan motor kasar dan halus, kognitif, sosial dan emosi untuk memastikan perkembangan kanak-kanak yang dijaga terjamin. Orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai mana-mana premis penjagaan anak damit, termasuk mengenai kesejahteraan dan keselamatan anak-anak damit yang dijaga adalah disarankan untuk segera memaklumkan JAPEM melalui Talian ANAK 121. Setiap aduan yang diterima akan dijaga kerahsiaannya.

    Jika didapati mana-mana pusat penjagaan kanak-kanak tanpa lesen yang sah atau menjalankan perkhidmatan secara bertentangan dengan syarat-syarat lesennya, ia boleh dikenakan denda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Bagi keterangan lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak di talian +673 2380704 atau emel childcarecentre@japem.gov.bn.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...