Tuesday, December 17, 2024
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina sedia bawa pulang Mary Jane Veloso

    JAKARTA, 17 DIS – Pihak berkuasa Filipina bersedia membawa pulang Mary Jane Veloso, banduan yang dijatuhkan hukuman mati di Indonesia atas kesalahan menyeludup dadah, menurut Menteri Penyelaras Bidang Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Hal Ehwal Penjara, Yusril Ihza Mahendra.

    “Sejak semalam, pegawai daripada Kementerian Kehakiman dan polis Filipina telah tiba di sini untuk mempersiapkan perjalanan dia,” katanya di Istana Presiden di Jakarta kelmarin, lapor agensi berita ANTARA.

    Veloso kini ditahan di Penjara Wanita Pondok Bambu, Jakarta, selepas dipindahkan daripada sebuah penjara wanita di Yogyakarta pada Ahad malam.

    Dia dijadualkan berlepas ke Filipina melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten, dengan bantuan Kedutaan Filipina di Jakarta.

    Semua dokumen perjalanan dan tiket penerbangan untuk membawa pulang wanita itu telah disediakan oleh Kedutaan Filipina.

    Pemindahan Veloso susulan perjanjian praktikal yang ditandatangani antara Mahendra dan Setiausaha Rendah Kehakiman Filipina, Raul T. Vasquez, di Jakarta pada 6 Disember.

    Veloso, seorang banduan yang dijatuhkan hukuman mati setelah disabitkan atas kesalahan menyeludup 2.6 kilogram heroin, ditahan di Lapangan Terbang Adisutjipto, Yogyakarta, pada April 2010.

    Meskipun dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Sleman pada Oktober 2010, dia kemudian dikenal pasti sebagai mangsa pemerdagangan manusia. – Bernama

    Caption: Mary Jane Veloso, menunjukkan reka bentuk batik yang diciptanya semasa berada di Kelas IIB Institusi Koreksional Wanita Yogyakarta di Wonosari, Yogyakarta pada 13 Disember 2024. Filipina sedia bawa dia pulang. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda