Sunday, November 3, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum ekonomi Shenzhen-LA tingkat hubungan dua hala

    LOS ANGELES, 18 OGOS – Forum Pertukaran Ekonomi dan Perdagangan Shenzhen-Los Angeles (LA) yang diadakan di sini Jumaat lalu telah menghimpunkan lebih 200 usahawan, pemilik perniagaan dan pegawai dari bandar Shenzhen di selatan China serta negeri California, Amerika Syarikat (AS).

    Dianjurkan oleh Persekutuan Shenzhen AS dan Dewan Perdagangan Umum Shenzhen, forum di City of Industry – sebuah pusat ekonomi di Lembah San Gabriel di timur Los Angeles, bertujuan mempromosikan pertukaran ekonomi, perdagangan serta kerjasama antara Shenzhen, simbol utama usaha pembaharuan dan keterbukaan China, dengan Greater LA, kawasan metropolitan yang paling padat penduduk di barat AS.

    Kaunselor Komersial Konsulat Jeneral China di LA, Peng Jing, dalam ucapannya berkata, forum itu menyediakan platform penting untuk komuniti perniagaan kedua-dua bandar bagi bertukar pandangan dan menjalin kerjasama.

    “Walaupun Shenzhen dan Los Angeles terletak di sisi bertentangan Lautan Pasifik, kedua-duanya berkongsi banyak persamaan dan saling melengkapi. Kedua-dua bandar ini merupakan kota global yang dinamik, memiliki pelabuhan besar antara yang tersibuk di dunia, dan mempunyai suasana yang kukuh untuk inovasi serta keusahawanan,” katanya.

    Beliau berharap, kedua-dua pihak dapat memperkukuh komunikasi dan kerjasama dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk memperdalam kerjasama dalam bidang seperti pelabuhan hijau, tenaga bersih, logistik rentas sempadan, budaya, pendidikan dan pelancongan, seterusnya memberikan sumbangan yang lebih besar kepada pertukaran tempatan antara China dan AS.

    Sementara itu, Naib Presiden Kanan Dewan Perdagangan Umum Shenzhen, Liu Junlin, berkata, pembangunan Shenzhen selama empat dekad telah menyaksikan transformasi bandar itu daripada sebuah perkampungan nelayan kecil kepada sebuah metropolis moden. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda