JAKARTA, 15 SEPT – Gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter melanda wilayah Sumatera Utara, Indonesia hari ini, lapor agensi meteorologi dan geofizik negara itu, menurut Xinhua.
Gegaran berlaku pada jam 4:37 pagi waktu Jakarta (2137 GMT Sabtu) dengan pusat gempa terletak 17 kilometer (km) ke barat daya daerah Tapanuli Utara, menurut agensi itu.
Kekuatan gempa bumi tercatat pada III MMI (Modified Mercalli Intensity) di daerah Tapanuli Tengah dan bandar Gunungsitoli.
Indonesia sering dilanda gempa bumi kerana negara kepulauan itu terletak dalam zon yang terdedah kepada bencana tersebut yang dipanggil ‘Lingkaran Api Pasifik’. – Bernama