Tuesday, May 21, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Gunung Ibu di Indonesia meletus, tahap amaran ditingkatkan

    JAKARTA, 9 MEI – Gunung berapi di timur Indonesia meletus hari ini dan memuntahkan abu hampir 1.5 kilometer (km) ke udara, mendorong pegawai-pegawai menaikkan tahap berjaga-jaga kepada tahap kedua tertinggi dan memberi amaran kepada orang ramai untuk menjauhkan diri.

    Gunung Ibu, yang terletak di pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara, meletus pada pukul 11:11 pagi waktu tempatan dan mencetuskan asap dan abu tebal di atas puncak.

    Gunung berapi itu memuntahkan abu setinggi 1.5km di atas puncak, kata agensi volkanologi Indonesia (PVMBG).

    “Berdasarkan hasil pemantauan visual dan instrumental, tahap aktiviti Gunung Ibu telah dinaikkan daripada tahap dua kepada tahap tiga sistem empat peringkat,” kata ketua PVMBG, Hendra Gunawan dalam satu kenyataan hari ini.

    Pihak berkuasa membentuk zon larangan antara tiga dan lima kilometer di sekitar kawah gunung berapi itu.

    Gambar menunjukkan Gunung Ibu mengeluarkan asap tebal di Kabupaten Halmahera Barat di Provinsi Maluku Utara, Indonesia, kelmarin. – AFP

    Hendra turut menggesa penduduk berhampiran memakai pelitup muka dan cermin mata ketika melakukan aktiviti luar dan bersiap sedia bagi abu gunung berapi yang jatuh.

    Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.

    Bulan lalu, Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara meletus lebih daripada enam kali, memaksa beribu-ribu penduduk pulau berdekatan berpindah.

    Ia meletus lagi minggu lalu dan kekal pada tahap amaran tertinggi bagi sistem empat peringkat.

    Kesemua kira-kira 800 penduduk pulau Ruang telah dipindahkan secara kekal.

    Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di bandar Manado, terletak lebih 100km dari kawah, ditutup selama beberapa hari kerana abu gunung berapi. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...