NEW YORK, 6 DIS – Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) kelmarin menolak penyelesaian jenayah dengan Boeing berhubung kemalangan 737 MAX, sambil mengkritik dasar kepelbagaian di syarikat penerbangan itu dan Jabatan Kehakiman yang menyebabkan beliau ragu-ragu terhadap keputusan yang adil.
Dalam keputusan tersebut, Hakim Daerah AS, Reed O’Connor menghalang pengakuan bersalah Boeing di bawah perjanjian pendakwaan tertunda berhubung kes yang berpunca daripada dua kemalangan maut pada 2018 dan 2019 yang mengorbankan 346 nyawa.
Perjanjian itu akan membolehkan Jabatan Kehakiman memilih pemantau untuk memastikan Boeing mematuhi syarat perjanjian tersebut.
Namun, O’Connor menulis bahawa dasar kepelbagaian, ekuiti, dan inklusi (DEI) di Jabatan Kehakiman membuatkan beliau “ragu-ragu” terhadap jaminan bahawa pemantau akan dipilih semata-mata berdasarkan kebolehan.
“Mahkamah tidak yakin bahawa Kerajaan tidak akan memilih pemantau tanpa mempertimbangkan faktor perkauman,” kata O’Connor, yang memberikan tempoh 30 hari kepada pihak-pihak terlibat untuk mengemas kini mahkamah mengenai langkah seterusnya dalam kes ini.
Di bawah perjanjian itu, Jabatan Kehakiman sepatutnya memilih enam calon untuk bertugas sebagai pemantau, dan Boeing diberi pilihan untuk menolak salah seorang daripada mereka.
Namun, O’Connor menulis dalam keputusan setebal 12 muka surat bahawa beliau bimbang Boeing akan membuat keputusan untuk menolak calon dengan cara yang bersifat diskriminasi dan mempertimbangkan faktor perkauman.
Beliau merujuk kepada dasar Boeing yang berkomitmen terhadap matlamat seperti perwakilan mencukupi golongan kulit hitam dalam kepimpinan syarikat.
Keputusannya mengkritik dasar DEI di Boeing dan Jabatan Kehakiman sebagai bertentangan dengan kepentingan awam. – AFP