Monday, May 20, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Hidup harmoni rahsia keamanan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Jika keamanan dan kesejahteraan itu tidak ada dalam sesebuah negara, maka kemajuan dan pembangunan tergendala serta tidak dapat dilaksanakan.

    “Rukun keamanan itu mustahak dipelihara dan diamalkan iaitu dengan memegang kuat ajaran agama Islam, mematuhi undang-undang negara dan hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu dan inilah rahsia keamanan itu,” ujar khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Mensyukuri Nikmat Keamanan dan Nikmat Kesejahteraan’.

    Bagi membanteras dan mencegah daripada berlakunya jenayah di negara ini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), tambahnya, adalah antara agensi keselamatan kerajaan yang diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab itu.

    Pada 1 Januari lalu, genap 102 tahun usia PPDB di mana cabaran persekitaran kemodenan telah menuntut pasukan ini merangka proses perancangan kolektif dalam menilai pelbagai alternatif melalui penggubalan strategi yang terbaik untuk membantu merealisasikan wawasan negara 2035.

    Sehubungan itu, bagi memperingati Hari Polis itu, PPDB turut memperkenalkan visi dan misi baharu selaku gagasan dan panduan dalam mencapai keberhasilan terbaik untuk negara dan rakyat.

    Kerja sebagai seorang anggota polis adalah satu khidmat dan amalan mulia dan selaku anggota polis juga haruslah menanamkan sifat jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab.

    Ini dengan memartabatkan peranan rakan kongsi yang dipercayai untuk keamanan, keselamatan yang mampan dalam memastikan ketenteraman awam, mendukung undang-undang dalam mengekalkan keamanan serta memperkukuhkan keyakinan awam melalui kepolisan pintar dan penglibatan masyarakat awam akan ditanai dengan penuh komited.

    Tugas menjaga keamanan negara merupakan tugas yang amat berat dan penuh cabaran.

    “Oleh itu, PPDB sentiasa berusaha untuk mengekalkan keamanan negara meskipun berhadapan dengan pelbagai situasi yang sukar dan merbahaya,” tegasnya.

    Pengorbanan mereka sehingga tergadai nyawa semasa menjalankan tugas demi mempertahankan kedaulatan raja dan kemakmuran negara itu hendaklah dihargai dan disanjung.

    Dengan adanya pasukan polis yang amanah dan sentiasa bekerja keras menjaga keamanan negara, jelasnya, kadar jenayah di negara ini berada di tahap yang terkawal dari terus berleluasa.

    “Sebagaimana yang kita maklum, jenayah sekarang datang dalam pelbagai bentuk dan variasi. Memerangi jenayah siber antara yang paling banyak berlaku dewasa ini dan terus mempengaruhi pemikiran masyarakat negara ini.

    “Apa pun pasukan polis akan sentiasa bersedia dan berinovatif dalam menangani pengaruh negatif dan menanganinya penuh dedikasi,” katanya.

    Sebagai anggota pasukan polis, jelasnya, perlu mempunyai pemikiran mampan dan pertimbangan wajar supaya dapat membuat keputusan yang betul dan adil.

    Sebarang kesilapan akan membawa padah yang sangat perit untuk diterima, tegasnya lagi, dan ini bukan saja kepada diri sendiri tapi juga membawa impak yang buruk secara langsung dan tidak langsung kepada imej dan kredibiliti pasukan di mata masyarakat.

    Kerja sebagai seorang anggota polis adalah satu khidmat dan amalan mulia di sisi agama dan selaku anggota polis juga harus menanamkan sifat jujur, amanah serta tulus dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

    “Selaku rakyat dan penduduk Brunei hendaklah sama-sama berganding bahu dan membantu pihak polis dalam membanteras jenayah. “Ini termasuk memberi maklumat kepada pihak polis mengenai kegiatan jenayah demi mengekalkan keamanan negara yang tercinta dan jangan bersikap lepas tangan dan menyerahkan bulat-bulat kepada pasukan polis untuk menangani jenayah,” tegasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...