Friday, May 10, 2024
23 C
Brunei

    -

    Istiadat Perkahwinan Diraja bermula dengan Istiadat Bersuruh

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JANUARI – Istiadat Perkahwinan Diraja antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar telah dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang berlangsung dengan penuh adat istiadat di Dewan Persantapan, Istana Nurul Iman.

    Majlis bermula dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Yusof menjunjung anugeraha dan menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibul Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia.

    Yang Amat Mulia seterusnya menyabdakan supaya Yang Dimuliakan Pehin mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia.

    Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke majlis tersebut.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta kerabat diraja ke Istiadat Bersuruh Diraja.

    Yang Dimuliakan Pehin seterusnya menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Bersuruh telah siap sedia.

    Setelah itu, YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris menyembahkannya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang kemudian menitahkan supaya istiadat dimulakan.

    Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim menjunjung anugeraha untuk mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia diikuti oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong yang seterusnya berdatang sembah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyembahkan hasrat pinangan bagi pihak anakandanya.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong berdatang sembah kehadapan majlis KDYMM bagi menyembahkan hasrat pinangan bagi pihak anakandanya.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia setelah itu bertitah bahawa Baginda berserta keluarga menerima baik hasrat tersebut.

    Majlis diberkati dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Setelah Majlis Istiadat Bersuruh Diraja sempurna dilaksanakan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menitahkan supaya majlis ditutup.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja yang lainnya kemudiannya berangkat meninggalkan majlis tersebut.

    Terdahulu, sebelum Majlis Istiadat Bersuruh Diraja diadakan di Istana Nurul Iman, majlis terlebih dahulu diadakan di Assana’, Jerudong.

    Majlis tersebut diadakan di hadapan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong, YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit dan YAM Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan.

    Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat telah menyabdakan kepada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar supaya istiadat dimulakan.

    Selesai bacaan Doa Selamat, YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim menyabdakan supaya Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar menyembahkan kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong bahawa Rombongan Bersuruh Diraja telah siap sedia.

    YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim kemudiannya berangkat dari majlis diikuti oleh YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit dan YAM Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan ke tempat yang ditentukan bagi menjunjung dan mengiringi DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong naik ke kenderaan khas untuk berangkat ke Istana Nurul Iman.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Korea S mahu wujudkan kementerian tangani krisis kelahiran

    SEOUL, 9 MEI - Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol berkata hari ini bahawa beliau mahu mewujudkan kementerian baharu bagi menangani masalah kadar kelahiran...