Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Honduras, China bincang perjanjian perdagangan baharu

    TEGUCIGALPA, 14 OGOS – Presiden Honduras, Xiomara Castro mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar China, Hua Chunying, kelmarin bagi memperkukuhkan hubungan dua hala serta merundingkan perjanjian perdagangan baharu, menurut kenyataan rasmi kerajaan Honduras.

    Menteri Luar Honduras, Enrique Reina berkata bahawa lawatan Hua ke negara tersebut adalah untuk membincangkan beberapa agenda penting dalam hubungan kedua-dua negara.

    Sebagai sebahagian daripada rundingan perdagangan yang sedang berlangsung, Reina mengumumkan bahawa perjanjian ‘awal’ akan berkuat kuasa pada 1 September, yang membolehkan produk dari Honduras seperti udang, kopi, tembikai dan lain-lain memasuki pasaran China tanpa dikenakan tarif.

    Reina juga menyatakan bahawa sebaik sahaja perjanjian perdagangan baharu itu dimuktamadkan, ia dijangka meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara sebanyak lapan kali ganda berbanding sebelum Honduras menjalin hubungan diplomatik dengan China pada tahun 2023.

    Pada Mac 2023, Honduras mengumumkan ia telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Taiwan selepas lebih 70 tahun dan menjalin hubungan dengan China.

    Pada Jun tahun ini, Castro telah melawat Beijing dan bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping, dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan diplomatik yang baru terjalin.

    Sehingga kini, sebanyak 12 negara masih mengekalkan hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, dengan tujuh daripadanya terletak di rantau Amerika Latin dan Caribbean. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda