Monday, May 20, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Inovasi CUURA Space untuk sokong ekonomi kitaran Malaysia

    KUALA LUMPUR – Jika ditanya tentang tahap kesedaran pengurusan pelbagai sisa domestik serta pukal dalam kalangan masyarakat di Malaysia, tidak keterlaluan jika dikatakan ianya masih rendah dan membimbangkan.

    Tengok sahaja sikap buruk sesetengah orang yang apabila membeli perabot rumah baharu, yang lama dicampak di tempat pembuangan sampah. Lebih malang apabila ada yang menjadikan sungai sebagai tong sampah untuk tilam lama, kerusi usang, sehingga merumitkan kontraktor pembersihan melakukan tugas mereka.

    Di kebanyakan kawasan perumahan, sikap sedemikian boleh dilihat melalui cara segelintir penduduknya membuang sampah tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    Di pangsapuri atau flat, malas membuang sampah di tong sampah, jalan mudah dengan mencampakkan sahaja ke bawah, sehingga ada yang tersangkut di sengkuap rumah jiran.

    Perhatikan juga tong-tong sampah yang disediakan, kebanyakannya kotor dengan sampah-sarap dan perabot lama atau rosak berlonggok di tepinya.

    Pengasas CUURA Space, Benny Lim. – Bernama
    Matlamat utama CUURA Space adalah untuk menjadi pilihan utama bagi sesiapa yang mencari perabot berkualiti tinggi dan menarik secara visual dalam talian. – Bernama
    Gambar Bernama

    Meskipun sisa pukal hanya menyumbang peratus kecil kepada pelepasan karbon, jumlah sisanya pula dijangka meningkat seiring dengan peningkatan pertumbuhan penduduk.

    Senario ini membimbangkan kerana pusat pembuangan sisa pula terhad.

    Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) baru-baru ini mendedahkan bahawa Malaysia hanya mempunyai sebanyak 137 tapak pembuangan sampah, termasuk 21 tapak pelupusan sanitari, sementara 174 tapak sudah ditutup.

    Bagaimanapun, terdapat kaedah khas untuk melupuskan sisa, seperti ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Menurut laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), orang awam perlu menghantar sisa pukal ke pusat pengumpulan yang ditetapkan, daripada membuangnya merata-rata. Mereka juga perlu memastikan sisa berkenaan tidak menghalang laluan jalan atau menimbulkan masalah.

    Sementara itu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengumumkan pada 1 April 2017, ia akan melaksanakan pengumpulan sampah pukal berbayar untuk kawasan perumahan (rumah bertanah) di semua kawasan dalam lingkungan MPSJ.
     
    MEREVOLUSIKAN INDUSTRI PERABOT  

    Bercakap tentang isu sisa pukal ini, Bernama menemu bual Benny Lim, 37, antara mereka yang melihat peluang untuk membantu pihak berkuasa menguruskan sisa berkenaan, atas kesedaran masih ramai yang jahil tentang cara yang betul untuk melakukannya.

    Untuk menangani masalah ini, beliau mengasaskan CUURA Space, peruncit perabot dalam talian untuk menampung trend kepenggunaan mampan dan berertika yang semakin meningkat dalam industri perabot. Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif juga bermatlamat untuk merevolusikan pengalaman membeli-belah perabot dengan mengutamakan kemampanan. 

    Benny juga sedar akan keperluan mendesak untuk mengurangkan impak industri perabot ke atas alam sekitar. Untuk itu, beliau baru-baru ini menjalin perkongsian dengan Barnything, platform dalam talian untuk perdagangan tukar-menukar barang (barter) bagi mempromosi amalan mampan. Secara bersama, mereka mahu menyelesaikan isu ruang tapak pembuangan sampah dengan memberi kemudahan kepada penggunaan dan kitar semula perabot.

    “Dengan mengintegrasikan amalan mampan ke dalam model perniagaan serta menggalakkan pilihan kesedaran ekologi, CUURA Space dan Barnything memimpin era baharu dalam industri perabot. Kami menjangkakan masa depan dengan kemampanan menjadi bahagian penting dalam keseluruhan proses, bukan sahaja sekadar sesuatu yang difikirkan semula.

    Menjelaskan lebih lanjut tentang sistem barter perabot, Benny berkata, perkongsian dengan Barnything membolehkan pelanggan mereka menjual perabot lama dengan lebih cekap ketika membeli perabot baharu. 

    “Tujuan utama program perkongsian ini adalah untuk mengurangkan sisa serta menggalakkan penggunaan semula perabot. Apabila pelanggan menukar perabot lama mereka menerusi sistem barter kami, kami secara berhati-hati menilai semula setiap perabot. Bergantung kepada keadaan serta kebolehpenggunaannya, pasukan kami akan menilai sama ada ia boleh diperbaharui, dibaiki atau digunakan semula. Ini selari dengan konsep 3R iaitu Reduce (Mengurangkan), Reuse (Mengguna Semula) dan Recycle (Mengitar Semula).

    “Jika satu-satu perabot tidak boleh digunakan semula secara langsung, kami akan menyelamatkan bahagian perabot dan memastikan minimum sisa. Sebagai contoh, kayu daripada perabot lama boleh diselamatkan dan digunakan semula untuk reka bentuk yang baharu, mengurangkan penggunaan bahan asli dan jejak karbon,” tambahnya.
     
    MENYOKONG EKONOMI KITARAN

    Menurut Benny, menerusi sistem barter ini, pelanggan boleh memainkan peranan penting dengan menunjukkan komitmen penuh mereka terhadap sistem kitaran dan prinsip 3R yang disokong oleh kerajaan Malaysia.

    Ini kerana, kata beliau, peralihan daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran, seperti yang didokong Pelan Bertindak Sisa Pepejal KPKT, memerlukan semua sektor dan komuniti membantu kerajaan mencapai pelepasan karbon bersih sifar dan pengecualian karbon menjelang tahun 2050. 

    Beliau menambah, dengan menukar perabot lama menerusi program perkongsian ini, perabot itu sama ada dijual pada harga diskaun atau ditukar secara barter kepada seseorang yang memerlukannya. Dengan cara itu, katanya, perabot lama tidak berakhir di tempat pembuangan sampah dan mengurangkan sisa pepejal dan menjimatkan sumber.

    “Lagi pun, dengan memilih perabot baharu daripada kami menggunakan diskaun yang mereka terima menerusi sistem barter perabot lama, pelanggan seterusnya menyumbang kepada usaha kemampanan. Sebaik sahaja memuat naik perabot lama mereka di laman sesawang dan dinilai, mereka akan menerima kod promo yang boleh digunakan untuk membeli mana-mana set perabot CUURA Space.

    “Pelanggan yang menyokong penggunaan bahan kitar semula dalam pengeluaran perabot kami secara tidak langsung menggalakkan ekonomi kitaran dengan memberi nafas baharu kepada perabot lama, di samping menyertai usaha menjaga alam sekitar untuk membeli perabot bagi rumah mereka,” katanya.

    Bukan itu sahaja, peserta juga mempunyai pilihan sama menghantar sendiri perabot mereka atau menggunakan khidmat pengambilan, yang diberi secara percuma sekiranya mereka membeli perabot dari CUURA Space. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...