Monday, May 20, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Ummi tolak bergandingan dengan Aliff Aziz

    Enggan mengguris hati sesiapa, pelakon Ummi Nazeera menolak bekerjasama sekali lagi dengan pelakon tinggi lampai, Aliff Aziz biarpun pernah digandingkan menerusi drama Dia Dari Syurga.

    Selepas kemunculan drama Dia Dari Syurga di saluran RTM, Ummi mengakui menerima beberapa tawaran bergandingan dengan pelakon dari Singapura itu, tetapi menolak.

    Ummi berkata, keputusannya tiada kaitan dengan kontroversi membabitkan pelakon bergelar penyanyi itu.

    “Itu soal peribadi Aliff, saya tak nak komen dan tak suka masuk campur. Apa yang penting, Aliff tak pernah mendatangkan sebarang masalah sepanjang di lokasi.

    “Sebenarnya, saya seorang yang selektif apabila babitkan rakan segandingan. Saya memilih hero kerana lebih selesa berlakon dengan mereka yang mempunyai pendirian sama.

    Ummi dan Aliff pernah bergandingan dalam drama Dia Dari Syurga.– Kosmo Digital

    “Orang lain mungkin tak kisah soal pilihan pelakon, tapi saya kisah.

    “Saya mengelak berlakon adegan bersentuhan, jadi tentunya saya mahukan pelakon lelaki sealiran,” katanya kepada BH Online.

    Tambah Ummi, dia sepatutnya digandingkan dengan pelakon lain untuk drama Dia Dari Syurga.

    “Namun, bila berjumpa dengan produksi, barulah mereka beritahu Aliff digandingkan dengan saya.

    “Bagaimanapun, saya tiada masalah dengan Aliff sepanjang bekerjasama. Dia cukup disenangi dan miliki disiplin tinggi.

    “Tapi, saya pilih tidak lagi berlakon dengan Aliff bagi mengelakkan mengguris hati sesiapa,” katanya yang ditemui pada majlis rumah terbuka pereka fesyen, Fizi Woo, baru-baru ini.

    Ditanya adakah ada berhubung bagi membincangkan hal kerja, Ummi berkata, mereka tidak pernah berhubung kerana hubungan lebih kepada rakan sekerja, bukannya kawan.

    “Kami tak pernah berhubung kerana bagi saya cukuplah hubungan setakat di lokasi kerana kami hanya rakan sekerja,” tambahnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...