Thursday, January 9, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Insan luar biasa

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Detik kaki melangkah untuk bertemu dengannya dan akhirnya bertentang mata, bait lagu ‘Tidak ku minta lahir ke dunia, tidak ku duga cacat begini, bukan ku minta kasih dan manja, bukan ku rayu bantu simpati…’ daripada penyanyi Malaysia, Freddie Fernandez yang terkenal suatu ketika dahulu, bertajuk Namun Ku Punya Hati terngiang di benak fikiran penulis.

    Namun bait-bait lagu itu cepat berlalu apabila melihat empunya diri, Awang Muhammad Bahri lincah dan tampak bersahaja menikmati hidup seperti insan lain yang normal meskipun hakikatnya beliau tidak punya dua tangan.

    Tanpa dua tangan, ia tidak pernah menghalang Awang Muhammad Bahri yang kini menetap di Sungai Orok, Kampung Perpindahan Lambak Kanan untuk menjalani kehidupan, beraktiviti malahan memandu kereta kegemarannya. Beliau menyeimbangkan segala-galanya dengan kaki, digunakan untuk menaip, menulis, memakai baju, seluar dan mengangkat benda yang diperlukan.

    Sukan dan kawan

    Siapa sangka, siapa menduga, dengan keadaannya sebegitu, beliau tidak pernah sunyi malahan mempunyai ramai kawan dan sudah pun beristeri. Aktiviti sukan yang paling diminatinya ialah bermain bola di padang bersama rakan-rakan dan beliau antara yang paling bersemangat apabila bermain, menurut rakan-rakannya. “Saya sukakan bola sepak semenjak dari kecil lagi dan peminat setia aksi-aksi di Liga Perdana Inggeris (EPL),” katanya.

    Menurutnya, meskipun ramai kawan, beliau sedikit sebanyak merasa kesukaran tidak bertangan kerana pergerakannya terhad, namun itu tidak membuatkannya berputus asa kerana rakan-rakannya sentiasa memberikan sokongan, malahan itu adalah kurniaan daripada Allah SWT dan ujian baginya di dunia yang harus diterima dengan hati terbuka.

    Dengan kepercayaan diri yang kuat, Awang Muhammad Bahri terus cekal menjalani kehidupan sebagaimana orang lain seperti bermain bola.
    Awang Muhammad Bahri ketika memandu menggunakan kakinya.

    Sokongan ibu bapa

    Awang Muhammad Bahri bersyukur atas sokongan dan tiupan semangat ibu bapa yang mengajarnya daripada kecil untuk berdikari menggunakan kaki sehingga kini beliau sudah mahir melakukan banyak perkara menggunakan kakinya.

    Beliau turut memahami kesukaran ibu bapanya, namun menerima dirinya sebagai kurniaan terbaik Allah dan melakukan apa sahaja agar dia mampu berdikari semenjak awal lagi.

    “Memang hidup tanpa kedua-dua belah tangan ini mempunyai banyak cabarannya, dari kecil hinggalah ke hari ini. Tetapi Alhamdulillah banyak kesukaran dan cabaran itu dapat diatasi dan dihadapi dengan baik,” ujarnya ketika ditemu bual penulis.

    Nekad pandu kereta sendiri

    Satu yang penulis kagumi ialah Awang Muhammad Bahri merupakan seorang yang tinggi tekadnya dan ini terbukti apabila beliau berupaya memandu dalam keadaannya yang sukar itu.

    Memandu untuk bersiar-siar, bekerja dan melakukan banyak lagi perkara yang diinginkan mendorongnya untuk mendapatkan lesen memandu pada tahun 2006 melalui Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pengangkutan Darat dan akhirnya mendapat kelulusan lesen memandu pada tahun 2011.

    “Dengan tekad menginginkan kehidupan seperti orang lain, saya memberi peluang untuk diri cuba memandu dengan menggunakan kaki sahaja dan mula belajar memandu bersama seorang rakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah,” kata Awang Muhammad Bahri.

    Beliau pernah dinasihati ahli keluarga agar melupakan impiannya untuk memandu, namun atas kepercayaan kepada diri dan pendirian tegasnya, ahli keluarganya membenarkan dia berlatih dan kini Awang Muhammad Bahri mudah mengendalikan kereta menggunakan kaki, malahan beliau turut mendapat kereta impiannya, BMW untuk ‘melangkah’ lebih jauh.

    Meskipun pada mulanya sukar memandu menggunakan kaki, lama-kelamaan dia semakin terbiasa dan kini ia umpama alah bisa tegal biasa.

    Nukil buku kehidupan

    Awang Muhammad Bahri yang mula mendapat pendidikan di Pusat KACA, memahirkan penggunaan kakinya dengan bantuan daripada ibu bapanya dan warga pendidik di pusat tersebut.

    Beliau kemudiannya melanjutkan persekolahan di Sekolah Rendah Jigsaw, Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam, Pusat Tingkatan Enam Berakas dan akhirnya menjejakkan kaki ke Universiti Brunei Darussalam dan turut berjaya menggenggam ijazah sarjana dari Universiti Leicester, UK.

    Beliau yang kini bertugas sebagai pegawai pendidikan tidak melepaskan peluang menukilkan buku tentang hidupnya bertajuk Muhammad Bahri yang diterbitkan dan dilancarkan pada 15 Oktober lalu.

    Buku itu mengisahkan kehidupannya tanpa kedua-dua belah tangan, menjalani kehidupan sehariannya menggunakan kaki seperti makan, minum dan sebagainya. Beliau turut berharap buku tersebut akan ada siri kedua pada masa akan datang.

    Buli

    Awang Muhammad Bahri semasa ditanya mengenai sama ada dia pernah dibuli dengan keadaannya itu, melafazkan Alhamdulillah kerana semenjak dari kecil lagi, beliau tidak pernah dibuli, malahan lebih banyak peminat dan kawan.

    Beliau menitipkan kata nasihat agar mereka yang suka membuli untuk menghentikan sikap itu kerana kelemahan dan kekurangan orang lain bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan jenaka. Perkara seumpamanya boleh sahaja berlaku kepada mereka suatu hari kelak, katanya.

    Kita insan terpilih

    “Saya sedar Allah menjadikan kita seperti ini untuk memberi harapan kepada orang lain. Ia sangat memberi inspirasi kepada saya dan memutuskan untuk mendedahkan hidup saya untuk memberi harapan kepada orang lain.

    “Apabila melihat orang tanpa kedua-dua belah tangan atau kaki atau lain-lain ketidakupayaan, saya sangat yakin bahawa saya dan mereka adalah insan istimewa dan kuat serta terpilih kerana cabaran yang kita hadapi berbeza dengan mereka yang sempurna dan mereka menghadapinya dengan tenang, rendah diri dan banyak bersabar,” ujarnya telus.

    Menurutnya, disebabkan perkara itu, insan-insan terpilih ini boleh melakukan banyak perkara yang sangat luar biasa. Beliau turut memandang hidup tanpa tangan bukanlah suatu kelemahan, namun lebih mendorong beliau untuk berjaya dalam kalangan masyarakat.

    “Bangunlah apabila jatuh dan sayangkan diri sendiri, jangan berputus asa dengan kekurangan kita tetapi jadikan ia satu kelebihan di mata orang sekeliling kita,” kata-katanya yang tulus dan menusuk keinsafan dalam hati penulis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda