Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Perdagangan Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan peningkatan sebanyak 45.4 peratus kepada $1,510.7 juta bagi Februari 2020 berbanding $1,038.9 juta pada bulan yang sama tahun 2019.
Manakala, bagi perubahan bulan-ke-bulan, jumlah perdagangan bagi bulan Februari 2020 menurun sebanyak 16.3 peratus berbanding dengan bulan Januari 2020, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) mengongsikan dalam kenyataan media mengenai Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Februari 2020 yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan menambah, jumlah eksport turut meningkat sebanyak 59.7 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,121.2 juta berbanding $701.9 juta pada Februari 2019.
Ini adalah disebabkan peningkatan eksport bahan api galian sebanyak 47.3 peratus tahun-ke-tahun terutamanya disumbangkan oleh eksport gas cecair asli (LNG) dan produk petroleum dan gas yang mana komoditi terbesar adalah ‘Other motor spirit, of other RON, unleaded’ hasil daripada aktiviti hiliran.
Pasaran eksport terbesar bagi Negara Brunei Darussalam pada Februari 2020 adalah ke Jepun iaitu 34.3 peratus diikuti oleh Singapura sebanyak 19.6 peratus dan Republik Rakyat China pula mencatat 9.3 peratus.

Dari segi komoditi eksport, bahan api galian merupakan penyumbang utama sebanyak 86.6 peratus diikuti dengan kimia mencatat 12.4 peratus serta jentera dan kelengkapan pengangkutan mencatat 0.6 peratus. JPES turut menjelaskan bahawa jumlah import juga meningkat sebanyak 15.6 peratus tahun-ke-tahun kepada $389.5 juta yang dipacu oleh import bahan api galian selaras dengan aktiviti hiliran.
Lima komoditi import utama pada bulan ini adalah bahan api galian iaitu 39.1 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan mencatat 29.2 peratus, makanan sebanyak 9.5 peratus, barang-barang keluaran kilang pula mencatat 8.7 peratus dan kimia mencatat 6.5 peratus.
Mengikut kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan merangkumi 61.3 peratus daripaa jumlah import diikuti oleh import barang modal mencatat 32.5 peratus dan barang penggunaan pula mencatat 6.2 peratus.
Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Emiriah Arab Bersatu sebanyak 24.3 peratus diikuti oleh Malaysia mencatat 19.9 peratus dan Singapura,13.5 peratus.
IMTS bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan General System bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.
Laporan penuh IMTS bagi Februari 2020 boleh didapati melalui laman sesawang www.deps.gov.bn.