Wednesday, January 15, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian: Zarah ultrahalus boleh sebabkan kematian

    MONTREAL, 9 OGOS – Pencemaran udara yang disebabkan oleh ‘zarah ultrahalus’ (UFP) yang dikeluarkan oleh kenderaan dan aktiviti perindustrian, telah dikaitkan dengan 1,100 kematian setahun di Montreal dan Toronto, menurut penyelidikan baharu dari Kanada.

    Zarah yang 1,000 kali lebih nipis daripada sehelai rambut itu, didapati boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular dan dikaitkan dengan kanser dalam orang dewasa, manakala pendedahan kepada zarah tersebut boleh meningkatkan kadar kelahiran anak damit dengan berat yang rendah. Penyelidikan yang diterbitkan awal minggu ini dalam American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine, merupakan yang pertama seumpamanya di Kanada.

    “Zarah ultrahalus sangat kecil, membolehkannya menembusi jauh ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah,” kata ketua penyelidik kajian dan seorang profesor di Universiti McGill, Scott Weichenthal kepada AFP.

    Penyelidik mengukur tahap pencemaran udara di Toronto dan Montreal di kawasan kejiranan yang didiami oleh sejumlah 1.5 juta penduduk dewasa, antara tahun 2001 dan 2016. Kajian itu mendapati pendedahan jangka panjang kepada UFP dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian bukan kemalangan sebanyak tujuh peratus.

    Kawasan yang terletak berhampiran dengan jalan raya utama, lapangan terbang dan landasan kereta api khususnya mempunyai kandungan UFP yang tinggi, selaras dengan penemuan yang dicatat oleh penyelidik di Eropah. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda