Tuesday, February 4, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasuka Ar Rawda terus cemerlang di puncak BEFL

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Pasukan Kasuka Ar Rawda terus menampilkan kecemerlangan apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang lapan perlawanan, sekali gus berjaya berada di puncak Brunei Elite Futsal League (BEFL) 2024-2025 dalam persaingan yang semakin sengit.

    “Saya gembira menyaksikan pemain-pemain Kasuka Ar Rawda telah mengekalkan konsistensi permainan yang mantap, sekalipun berdepan pasukan-pasukan yang juga mempunyai potensi tinggi dalam kumpulan BEFL ini,” jelas ketua jurulatih dari Indonesia, Wahyu Triayanto.

    Beliau turut menyatakan bahawa cabaran BEFL semakin menarik ketika perlawanan sudah memasuki pusingan kedua, justeru beliau menaruh harapan supaya anak buahnya akan terus mempertahankan momentum kemenangan tersebut.

    Skuad kendalian bekas pemain futsal kebangsaan Indonesia itu menikmati kejayaan besar selepas mencalarkan rekod bersih pasukan Almerez Hitune FC dengan kemenangan 5-0 serta menafikan hajat tinggi pasukan Kampung Buangkok FC dengan keputusan 5-2.

    Sementara itu, Almerez Hitune FC berjaya mengubati kehampaan setelah bangkit membelasah pasukan Kota Rangers 12-5, manakala Kampung Buangkok FC pula berhempas pulas menundukkan Arbisyam FC dengan jaringan 5-3.

    Kebangkitan semula Almerez Hitune FC dan Kampung Buangkok FC menyaksikan kedua-dua pasukan berjaya mengutip 18 mata, terus mengekori rapat di belakang Kasuka Ar Rawda yang mendahului liga dengan 24 mata.

    Pasukan Shah United dan MS ABDB pula yang masing-masing mengumpul 9 mata dilihat mampu mengugat kedudukan pasukan di kelompok teratas.

    Dalam pada itu, DDT FC, Kota Ranger BK FC dan Arbisyam FC yang masih ketandusan kemenangan mula menampilkan kebangkitan dengan memberikan saingan sengit dalam BEFL.

    Kerancakan persaingan BEFL turut menyaksikan kelincahan pemain bintang dari Indonesia, Bambang Bayu Saptaji yang mewakili pasukan Kampung Buangkok FC dari Singapura mendominasi jaringan terbanyak dengan sentuhan 20 jaringan sambil pemain Kasuka Ar Rawda, Mohammad Reza Rahmania, pemain import dari Iran mengumpul sebanyak 15 jaringan.

    Bambang Bayu Saptaji sebagai penjaring terbanyak dalam BEFL dengan 20 gol. – GAMBAR SERAHAN BEFL
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda