Tuesday, February 4, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelas Muslimah Masjid Kg Beribi jadi juara pertandingan nasyid

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Kumpulan Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Beribi telah diumumkan sebagai johan dalam Pertandingan Nasyid sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke 41 bagi kelas bimbingan Muslimah senegara bagi tahun 2025.

    Pertandingan yang berlangsung hari ini di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan adalah Isteri Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Agama, Dayang Hajah Siti Norishan binti Haji Awang Abdul Ghafor.

    Pertandingan yang julung kalinya diadakan itu menyaksikan lapan pasukan bertanding pada peringkat akhir dengan keputusan naib juara pertandingan dimenangi Kumpulan Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Sungai Teraban di daerah Belait, manakala tempat ketiga dimenangi Kumpulan Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.

    Sementara pencipta lirik terbaik dan seni kata terbaik telah dimenangi oleh Mohd Taswim Rozan dari Kampung Sungai Teraban.

    Pertandingan berkenaan dihasratkan dapat mempopularkan lagi lagu-lagu nasyid dan dakwah sebagai satu budaya warisan konsep Melayu Islam Beraja yang berunsurkan keagamaan di samping dapat menyuburkan dan mengukuhkan lagi rasa cinta kepada negara serta menyuntik keberanian dalam jiwa muslimah dalam menyampaikan lagu-lagu nasyid di khalayak ramai.

    Antara persembahan daripada kumpulan yang bertanding.
    Pemenang tempat pertama, Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Beribi.
    Pemenang tempat kedua daripada Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Sungai Teraban, Kuala Belait.
    Pemenang tempat ketiga dari Kelas Bimbingan Muslimah Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.
    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah bagi pencipta lirik dan senikata kepada wakil bagi Mohd Taswim Rozan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda