LONDON, 24 JAN – Kementerian Pertahanan (MoD) United Kingdom (UK) memeterai perjanjian bernilai sekitar AS$11.1 bilion dengan Rolls-Royce untuk menyokong pengoperasian kapal selam nuklear Britain, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kontrak selama lapan tahun yang dikenali sebagai Unity bertujuan melindungi 4,000 pekerjaan sedia ada, menjana lebih 1,000 pekerjaan baharu, serta memperkukuh keselamatan negara dan ekonomi UK.
Setiausaha Pertahanan UK John Healey berkata perjanjian itu menunjukkan pertahanan boleh menjadi “pemangkin pertumbuhan” selain mengukuhkan komitmen terhadap penangkis nuklear Britain sebagai “insurans utama dalam dunia yang semakin berbahaya.”
Menurut MoD, kontrak ini melibatkan reka bentuk, pengilangan, dan perkhidmatan sokongan bagi reaktor nuklear yang menjana kuasa untuk kapal selam UK.
Kementerian menjangkakan penjimatan lebih £400 juta sepanjang tempoh lapan tahun sepenuhnya dengan meningkatkan kecekapan penghantaran serta menawarkan insentif untuk menghasilkan lebih banyak tanpa peningkatan kos, termasuk kerja-kerja seperti pembinaan kapal kelas Dreadnought. – Bernama