LOS ANGELES, 12 JAN – Ketua kesihatan Los Angeles (LA) kelmarin memberi amaran kepada penduduk yang tinggal di LA supaya kekal di dalam rumah kerana asap kebakaran berbahaya yang menyelubungi kawasan itu.
Kebakaran terbesar yang melanda bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat itu mengeluarkan awan toksik ke udara, menyelubungi kawasan yang luas dengan asap yang berbahaya.
“Kami semua terdedah kepada asap kebakaran ini, yang merupakan campuran zarah kecil, gas dan wap air,” kata Anish Mahajan dari Jabatan Kesihatan Awam Daerah Los Angeles pada sidang media.
“Ia adalah zarah-zarah kecil yang masuk ke dalam hidung dan tekak kami yang boleh menyebabkan sakit tekak dan kepala.
“Semua orang di kawasan di mana terdapat asap yang boleh dilihat atau bau asap, dan walaupun kami tidak melihatnya, kami tahu bahawa kualiti udara adalah buruk, jadi kami harus mengehadkan pendedahan di luar,” tambahnya.
Mahajan berkata, individu yang sihat tidak terkecuali perlu berada di dalam rumah dan digalakkan untuk menggunakan beberapa jenis sistem penapisan udara.
Sementara itu, bagi yang terpaksa bekerja di luar pula perlu memakai sungkup N95, yang menapis zarah kecil untuk menghalangnya daripada memasuki badan.
Justeru, golongan muda, tua termasuk yang sakit harus perlu meningkatkan kewaspadaan pada masa ini.
“Mereka yang berisiko lebih tinggi untuk kesan kesihatan yang tidak baik… kanak-kanak, orang tua, mereka yang mengalami masalah pernafasan dan jantung, serta orang yang mempunyai keadaan imunokompromi, mereka mungkin mengalami gejala yang lebih teruk seperti sesak nafas, semput, batuk dan sakit dada,” katanya. – AFP