Wednesday, January 15, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kishida umum tidak bertanding sebagai langkah pertama perubahan

    TOKYO, 14 OGOS – Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengumumkan hari ini bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) bulan depan dan berjanji untuk bertanggungjawab terhadap skandal pengumpulan dana politik.

    Pada sidang akhbar di pejabat perdana menteri, Kishida menyatakan bahawa keputusannya untuk tidak menyertai pemilihan itu, yang akan menyebabkan beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri, adalah “langkah pertama untuk menunjukkan bahawa LDP akan berubah,” lapor agensi berita Kyodo.

    Kishida menjadi perhatian dalam parti kerana cara beliau menangani skandal pengumpulan dana politik yang melibatkan beberapa faksi dalam parti itu. Penarafan kelulusan Kabinet Kishida, yang dilancarkan pada Oktober 2021, telah merosot ke paras 20 peratus susulan skandal itu.

    Walaupun popularitinya merosot, Kishida pada awalnya berhasrat untuk bertanding semula. Namun, desakan dalam LDP agar beliau meletakkan jawatan semakin meningkat kerana kebimbangan terhadap prospek parti dalam pilihan raya umum yang akan datang, kata penganalisis politik.

    Setakat ini, bekas Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba yang popular dalam kalangan orang ramai, telah menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam pemilihan presiden LDP. Ishiba sebelum ini pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung LDP, jawatan kedua tertinggi dalam parti itu.

    Menteri Digital, Taro Kono seorang penggubal undang-undang yang berpandangan reformis dan celik media sosial, memaklumkan kepada Naib Presiden LDP, Taro Aso tentang hasratnya untuk bertanding, menurut satu sumber.

    Setiausaha Agung LDP, Toshimitsu Motegi; Menteri Keselamatan Ekonomi, Sanae Takaichi; bekas Menteri Alam Sekitar, Shinjiro Koizumi dan bekas Menteri Keselamatan Ekonomi, Takayuki Kobayashi juga antara mereka yang mungkin menyertai pemilihan itu. – Bernama

    Fumio Kishida bercakap semasa sidang media di kediaman rasmi perdana menteri di Tokyo, Jepun pada Ogos 2022. Beliau memutuskan untuk tidak akan bertanding dalam pilihan raya presiden Parti Demokratik Liberal. – Xinhua

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda