LONDON, 12 JAN – Renjer taman dan polis baru-baru ini berjaya menangkap dua ekor lynx yang telah dilepaskan secara haram di sebuah taman negara, sehari selepas dua ekor lagi kucing liar berjaya ditangkap.
Polis telah menggesa orang ramai untuk menjauhkan diri daripada haiwan tersebut sekiranya terlihat di Taman Cairngorns, di timur laut Scotland.
Kedua-dua ekor lynx itu berjaya ditangkap pada petang Jumaat dan berada dalam keadaan sihat, menurut Helen Senn dari Persatuan Zoologi Diraja Scotland (RZSS). Perangkap haiwan telah digunakan, bersama dron dan kamera pemantauan, untuk menjejaki pergerakan lynx tersebut, menurut RZSS.
Dua lagi ekor lynx yang ditangkap pada Khamis kini berada di fasiliti kuarantin di Taman Hidupan Liar Highland yang berdekatan dan akhirnya akan dipindahkan ke Zoo Edinburgh.
Polis sedang menyiasat individu yang bertanggungjawab melepaskan lynx secara haram tersebut.
“Ia adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan sangat tidak mungkin haiwan ini dapat bertahan di alam liar kerana kekurangan persiapan yang mencukupi,” kata Ketua Eksekutif RZSS, David Field.
“Tindakan meninggalkan haiwan ini adalah perbuatan yang cuai terhadap haiwan, orang awam, komuniti dan alam semula jadi.”
Lynx tidak dianggap berbahaya kepada manusia dan biasanya memburu mamalia seperti rusa, arnab dan tikus.
Haiwan ini dahulunya berasal dari Britain, tetapi kehilangan habitat dan aktiviti pemburuan menyebabkan kepupusan haiwan itu antara 500 hingga 1,000 tahun yang lalu.
Lynx to Scotland, sebuah projek yang berusaha mengembalikan haiwan ini ke negara tersebut, mengutuk tindakan pelepasan haram itu. – AFP