Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KSSUP
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Untuk melihat lebih dekat perkembangan perkhidmatan pelancongan dan proses penternakan ikan di negara ini, Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu dan rombongan telah membuat lawatan kerja ke Taman Negara Ulu Temburong dan Barramundi Asia (B) Sdn Bhd, hari ini.
Turut hadir bagi meng-alu-alukan rombongan lawatan berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), berserta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kemajuan Pelancongan.
Program lawatan bermula dengan menyusuri sungai menggunakan temuai (longboat) menuju ke Taman Negara Ulu Temburong dan seterusnya berjalan melalui denai hutan dan menaiki menara ke Jejantas Silara (Canopy Walkway) bagi menyaksikan pemandangan panoramik hutan hujan tropika yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.
Seterusnya taklimat mengenai projek bagi menaik taraf, mengendali dan memelihara kompleks penginapan di Taman Negara Ulu Temburong telah disampaikan oleh wakil pengendali projek berkenaan iaitu Syarikat Sundaland Resorts Pte Ltd, syarikat pelaburan langsung asing dari Republik Singapura.
Puan Yang Terutama seterusnya membuat lawatan ke Syarikat Barramundi Group (B) di Kampung Serasa, untuk melihat secara dekat fasiliti yang ada, antaranya hatchery/recirculating aquaculture system (RAS) dan diagnostic and laboratory services.
Syarikat Barramundi Asia (B) mengusahakan ternakan ikan selungsong di laut dan darat serta mempunyai 29 orang tenaga kerja.
Bagi perusahaan ternakan ikan di laut, syarikat berkenaan beroperasi di tapak seluas 10 hektar menggunakan 28 sangkar dan bagi perusahaan ternakan ikan di darat beroperasi di tapak seluas 0.5 hektar dengan menggunakan 12 tangki.
Sehingga November 2022, hasil perolehan ternakan ikan di laut adalah lebih 68,000 tan metrik, manakala bagi ternakan ikan di darat lebih 233,000 ekor anak ikan.
Syarikat berkenaan telah mula mengeksport ikan selungsong ke Republik Singapura pada September lalu.