Tuesday, May 21, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Loji Iceland baharu tingkatkan penghapusan CO2

    HELLISHEIDI, 9 MEI – Sebuah syarikat pemula dari Switzerland melancarkan kilang keduanya di Iceland kelmarin yang menyedut karbon dioksida dari udara dan menyimpannya di bawah tanah, meningkatkan kapasitinya 10 kali ganda untuk tujuan menghapuskan berjuta-juta tan karbon dioksida (CO2) menjelang 2030.

    Digelar Mammoth, kilang itu terletak hanya beberapa ratus meter dari kilang pertama iaitu Orca, kemudahan perintis yang dibuka oleh syarikat pemula Climeworks pada September 2021.

    Di sini, 12 kontena yang serupa dengan pengangkutan maritim disusun berlatarbelakangkan pergunungan.

    Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kipas di dalam kontena mula menarik udara ambien dan melepaskannya, sebahagian besarnya telah diasingkan daripada CO2, melalui lubang di bahagian belakang.

    Semuanya dilakukan melalui proses kimia, dan dikuasakan oleh loji geoterma ON Power yang berdekatan.

    Menjelang akhir tahun, 72 unit akan dipasang di sekitar loji di mana CO2 yang ditangkap dimampatkan dan dilarutkan dalam air tawar sebelum ia disuntik dengan tekanan tinggi ke dalam batu basalt di bawah tanah untuk mengunci CO2, punca utama kepada pemanasan global.

    Pada kedalaman 700 meter, larutan itu memenuhi rongga batu dan proses pemejalan bermula iaitu tindak balas kimia mengubahnya menjadi hablur putih terkalsifikasi yang berlaku apabila gas bersentuhan dengan kalsium, magnesium dan besi dalam basalt.

    Ia mengambil masa sehingga dua tahun untuk CO2 membatu, menurut kumpulan Iceland, Carbfix yang membangunkan proses itu.

    Kira-kira 10,000 tan CO2 setahun telah disimpan menggunakan teknik tangkapan udara langsung dengan penyimpanan karbon (DACCS) di seluruh dunia, termasuk 4,000 tan oleh Orca dengan selebihnya kebanyakannya dilakukan di kemudahan eksperimen. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...