Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi tiada dalam senarai Ballon d’Or

    PARIS, 5 SEPT – Lionel Messi tidak akan memenangi satu lagi anugerah Ballon d’Or tahun ini selepas diketepikan daripada senarai calon yang diumumkan penganjur semalam, ketika bintang pasukan Sepanyol yang memenangi Euro 2024 dan pemenang Liga Juara-Juara, Real Madrid mengungguli senarai itu.

    Messi merangkul Ballon d’Or kali kelapan dalam kariernya yang penuh gemilang tahun lalu. Kini berusia 37 tahun, dia tidak berada dalam senarai 30 calon kali ini meskipun memenangi satu lagi kejuaraan bersama Argentina pada Copa America Julai lalu.

    Bekas superstar Barcelona itu, kini bermain untuk kelab bola sepak di MLS bersama Inter Miami, turut tidak tersenarai sebagai calon pada tahun 2022 ketika Karim Benzema memenangi anugerah itu.

    Bagaimanapun, dia kembali memenanginya tahun lalu selepas memimpin Argentina meraih kegemilangan pada Piala Dunia di Qatar.

    Anugerah bola sepak paling berprestij itu diundi oleh panel wartawan dari setiap 100 negara teratas dalam ranking dunia FIFA.

    Gambar Messi dengan trofinya ketika dia menerima anugerah Ballon d’Or ke-8 pada 30 Oktober 2023. – AFP

    Penyerang Brazil, Vinicius Junior menjadi pilihan dan seorang daripada enam pemain Madrid yang memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara musim lalu yang dicalonkan.

    Jude Bellingham, Dani Carvajal, Toni Kroos, Antonio Rudiger dan Federico Valverde turut dicalon dalam senarai, manakala Kylian Mbappe – yang meninggalkan Paris Saint-Germain untuk berpindah ke Real hujung musim lalu – juga dicalonkan.

    Carvajal adalah antara pencabar daripada pasukan juara Sepanyol di samping Alejandro Grimaldo, Dani Olmo, Rodri, Nico Williams dan Lamine Yamal.

    Bintang Manchester City dari Norway, Erling Haaland serta penyerang England dan Bayern Munich, Harry Kane juga berada dalam senarai pencalonan, tetapi tidak ada tempat buat pemenang lima kali, Cristiano Ronaldo, yang kini berusia 39 tahun.

    Xabi Alonso, yang menjuarai Bundesliga tanpa kalah sepanjang musim bersama Bayer Leverkusen, antara pilihan utama bagi jurulatih terbaik.

    Pencabarnya termasuk pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti dan jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda