Wednesday, September 18, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Orang muda yang tidak mengambil risiko adalah orang tua’

    SINGAPURA, 13 SEPT – Pope Francis dalam program terakhirnya di Singapura, menggesa golongan muda agar berani mengambil risiko sambil bersikap kritikal namun membina.

    Pada acara Pertemuan Antara Agama Bersama Golongan Muda yang melibatkan lebih 600 peserta dari lebih 50 sekolah serta organisasi antara agama, Pope turut menggalakkan belia untuk keluar dari zon selesa dan menyedari bahawa membuat kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran, terutama pada usia muda.

    “Ketakutan adalah sikap diktator. Ia membuatkan awda tidak berdaya. Perkara penting ialah menyedari bahawa awda telah melakukan kesilapan.

    “Jadi apa yang lebih teruk: melakukan kesilapan kerana awda sebenarnya melangkah ke hadapan dan melakukan sesuatu, atau tidak melakukan kesilapan tetapi tidak berbuat apa-apa? Orang muda yang tidak mengambil risiko adalah orang tua,” katanya.

    Disertai pemimpin muda dari pelbagai agama di atas pentas yang sama, Pope turut mengingatkan belia supaya tidak menjadi hamba kepada teknologi.

    Gambar AFP

    Menyentuh mengenai dialog antara agama terutamanya dalam masyarakat yang berbilang kaum, Pope menekankan kepentingan rasa hormat dan bagaimana golongan muda boleh menggunakan peluang ini untuk terlibat dalam perbincangan sedemikian.

    “Untuk mengadakan dialog antara agama yang bermakna dalam kalangan golongan muda, ia memerlukan keberanian. Awda boleh gunakan keberanian untuk bergerak maju dan terlibat dalam dialog,” katanya.

    Acara di Catholic Junior College itu dihoskan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Edwin Tong dan Uskup Agung Singapura, Kardinal William Goh.

    Tong dalam ucapannya berterima kasih kepada Pope dan Catholic Archdiocese of Singapore kerana mempromosikan dialog antara agama, bagi masyarakat yang menghadapi dunia yang semakin berpecah-belah dan bergolak.

    Sebelum pertemuan antara agama itu, Pope melawat warga tua dan pesakit di Rumah St Theresa.

    Pope berlepas dari Singapura pada 12:25 tengah hari, menamatkan lawatan negara selama tiga hari, sekali gus mengakhiri Jelajahnya ke Asia Pasifik selama 12 hari yang turut melibatkan Indonesia, Papua New Guinea dan Timor-Leste.

    Ini merupakan perjalanan terpanjang yang dilakukan oleh Pope berusia 87 tahun itu sejak dilantik sebagai ketua Gereja Katolik pada 2013. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda