Beberapa hari yang lalu, saya ternampak satu kepala terjojol keluar dari sebuah kenderaan.
Mula-mula saya ingatkan orang dewasa, tetapi rupanya ia kepala seorang kanak-kanak lelaki. Terdetik di hati saya, kenapa ibu bapanya membiarkan sahaja ia berlaku.
Jika di pantai, mungkin boleh dimaafkan kerana selalunya ia sunyi, tetapi ini di jalan raya di mana kenderaan lain dipandu laju.
Bagaimana jika sesuatu berlaku pada kanak-kanak itu? Sebagai ibu bapa atau penjaga janganlah membiarkan anak-anak membuat sesuka hati tanpa pengawasan atau teguran terutamanya bagi kelakuan seperti mengeluarkan kepala melalui jendela, melompat-lompat, duduk bersandar di pintu dan sebagainya
Perlukah ada kejadian kemalangan yang boleh membuatkan para ibu bapa dan penjaga ini mengambil langkah yang sepatutnya untuk menjaga keselamatan mereka? Saya harap tidak.
Ibu bapa seharusnya peka akan keselamatan dan membimbing mereka mengenainya sedari kecil lagi.
Sehubungan itu, saya harap ibu bapa ini mengambil perhatian mengenai langkah-langkah keselamatan dalam kereta.
Antaranya ialah sentiasa memastikan pintu kenderaan terkunci ketika sedang bergerak dan anak-anak tidak memainkan tombol pintu atau mengeluarkan kepala melalui jendela kenderaan.
Jangan lupa untuk mengawasi kanak-kanak ketika di dalam kenderaan, memastikan mereka memakai tali pinggang dan tidak meninggalkan mereka seorang diri di dalam kenderaan.
Juju Limpai