Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan Indonesia temui mayat juruterbang NZ di Papua

    JAKARTA, 6 OGOS – Mayat seorang juruterbang helikopter New Zealand yang ditembak mati oleh pemberontak di wilayah Papua yang bergolak di timur Indonesia telah ditemui, kata pasukan petugas bersama polis dan tentera yang mengetuai pencarian pada hari ini.

    Glen Malcolm Conning, 50, seorang juruterbang PT Intan Angkasa Air Service, terbunuh kelmarin selepas mendarat di Papua bersama empat pekerja kesihatan Indonesia dan dua kanak-kanak, yang kesemuanya terselamat.

    Polis berkata kelmarin, pemberontak membebaskan mangsa yang terselamat kerana mereka adalah warga Indonesia.

    Pasukan Petugas Keamanan Cartenz, berkumpul untuk menangani pemisah Papua, mengambil mayat juruterbang dari kawasan terpencil Alama dan mengangkutnya ke bandar Timika, katanya dalam satu kenyataan.

    “Mayat juruterbang telah dipindahkan dari daerah Alama ke Timika dan tiba pada 12:50 tengah hari waktu tempatan. Mayat kini berada di Hospital Besar Mimika untuk bedah siasat,” kata jurucakap Cartenz, Bayu Suseno.

    Ketua polis daerah Mimika, I Komang Budiartha memberitahu pemberita kelmarin bahawa tiga helikopter telah dihantar untuk usaha mencari.

    Suseno berkata, mayat mangsa ditemui di dalam kokpit.

    Pemberontak telah membakar helikopter itu tetapi api tidak sampai kepada juruterbang, katanya.

    Jurucakap Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand memberitahu AFP awal hari ini bahawa ia mengetahui laporan kematian juruterbang itu dan berkata kedutaannya di Jakarta, Indonesia sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa. – AFP

    Helikopter Tentera Udara Indonesia berlepas ketika mereka memindahkan mayat seorang juruterbang New Zealand di Lapangan Terbang Mozes Kilangin di Timika di Provinsi Papua Tengah Indonesia, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda