LONDON, 12 OGOS – Chelsea mengumumkan pembelian pemain sayap Portugal, Pedro Neto dari Wolves kelmarin dengan bayaran yang dilaporkan berjumlah £54 juta.
Neto telah menandatangani perjanjian tujuh tahun dan akan menelan belanja awal sebanyak £51 juta dengan tambahan £3 juta, menurut laporan.
Pemain berusia 24 tahun itu menjadi pembelian kesembilan The Blues bagi satu lagi jendela perpindahan yang sibuk untuk kelab London itu sejak pengambilalihan dua tahun lalu oleh konsortium yang dipimpin oleh pemilik bersama LA Dodgers, Todd Boehly.
Chelsea kini telah membelanjakan kira-kira £185 juta dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan sebahagian besar daripadanya dilaburkan untuk prospek jangka panjang.
Sebaliknya, Neto dijangka akan terus dimasukkan ke dalam rancangan pasukan utama Enzo Maresca menjelang perlawanan pembukaan Liga Perdana mereka di laman sendiri menentang Manchester City hujung minggu depan.
“Saya berasa sangat bersyukur kerana menyertai kelab ini,” kata Neto dalam satu kenyataan kelab.
“Saya telah bekerja keras dalam karier saya untuk berada di sini dan saya tidak sabar untuk beraksi di padang dengan memakai jersi ini.”
Neto diperkenalkan kepada penyokong tuan rumah pada separuh masa perlawanan persahabatan pramusim Chelsea menentang Inter Milan di Stamford Bridge kelmarin.
Dia menyertai Wolves pada 2019 dari Lazio dan menjaringkan 14 gol dalam 135 penampilan, tetapi masanya di Molineux juga terjejas oleh masalah kecederaan.
“Semua orang tahu siapa Pedro, dia merupakan pemain sayap kelas dunia yang tidak bernasib baik kerana kecederaan, jadi kami pasti akan merinduinya di atas padang,” kata pengarah sukan Wolves, Matt Hobbs, selepas menerima bayaran rekod kelab. – AFP