Friday, January 31, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembuat filem Korea S mula terokai AI

    SEOUL , 30 JAN – Revolusi kecerdasan buatan (AI) yang menggegarkan Hollywood sejak beberapa tahun lalu kini telah tiba di Korea Selatan. Daripada penghasilan semula filem klasik kepada mencipta produksi sepenuhnya menggunakan AI generatif, industri filem tempatan Korea Selatan mula menguji alatan AI dalam beberapa projek percubaan.

    Satu contoh filem yang dibikin semula adalah Leafie, a Hen into the Wild. Filem animasi 2011 berkenaan mendapat sentuhan baharu melalui teknik remaster menggunakan AI oleh Inshorts, satu syarikat pemula teknologi tempatan yang baru sahaja dilancarkan tahun lepas, dengan penggunaan teknologi AI Super-scaler yang berupaya mendakwa mengubah visual menjadi kualiti imej 4K yang penuh jelas.

    Poster rasmi filem Leafie, A Hen into the Wild versi baharu.- THE KOREA HERALD

    Leafie adalah satu karya penting dalam animasi Korea yang diadaptasi daripada cerita dongeng terlaris Hwang Sun-mi, The Hen Who Dreamed She Could Fly mengisahkan kisah sedih tentang seekor ayam betina yang melarikan diri dan akhirnya memelihara anak itik.

    Filem tersebut kekal sebagai animasi tempatan yang paling berjaya di Korea sehingga kini apabila berjaya menarik 2.2 juta penonton di pawagam.

    Filem berkenaan yang dibikin semula menerusi pemulihan AI kini mengandungi imej yang lebih menarik kepada animasi asal seperti pemandangan hutan belantara yang dipenuhi dengan warna semula jadi yang kaya. Butiran halus, daripada corak rumit pada anak mata hingga kepelbagaian tekstur paruh karakter menunjukkan definisi yang telah dipertingkatkan tanpa kelihatan palsu.

    Sememangnya proses pembikinan semula filem telah dimulakan sejak akhir 1990-an, apabila pasukan jurutera memeriksa filem secara manual bingkai demi bingkai. Tetapi kini, alat AI yang canggih boleh mencari dari arkib luas video-video dalam talian yang terdiri daripada koleksi sumber terbuka dan perkongsian studio untuk mengetahui rupa rakaman asli pada mulanya.

    Kemudian, proses keseluruhan filem dimulakan oleh teknologi AI dalam satu laluan, memeriksa setiap bingkai dan menggunakan pengecaman corak untuk membina semula butiran yang hilang dengan ketepatan yang lebih jitu dan cepat.

    Gambar Pixabay

    Dalam satu temu bual, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Inshorts, Andy Lee mengatakan bahawa teknologi AI telah membantu syarikat, “memendekkan masa sebanyak 10 kali dan menjimatkan kos sebanyak separuh.”

    Namun, pembuat-pembuat filem Korea tidak berhenti pada pemulihan sahaja. Disember lalu menyaksikan dua percubaan yang belum pernah terjadi sebelum ini dengan AI generatif yang ditayangkan di pawagam.

    Filem It’s Me, Mun-hee yang dikeluarkan sempena perayaan Krismas, dibintangi pelakon veteran Na Mun-hee tanpa memerlukan kehadirannya ke set penggambaran.

    Sepanjang 17 minit pendek, AI generatif memunculkan wajah dan suara lelaki berusia 84 tahun itu dalam lima episod, mengubahnya menjadi pelbagai watak termasuk Santa Claus, pelarian CIA dan seorang angkasawan.

    Salah satu babak dalam filem It’s Me, Mun-hee.  – THE KOREA HERALD

    Selain itu, filem pendek 6.5 minit, M Hotel yang ditayangkan pada 11 Disember dibuat tanpa membabitkan seorang pun pelakon.

    Dengan pengunaan AI untuk mencipta kisah seorang gelandangan yang menemui kunci hotel yang misteri, projek berkenaan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, disenarai pendek dalam Festival Filem AI Reply di Venice dan memenangi anugerah di Festival Filem Kepintaran Buatan Antarabangsa Busan, Festival Filem Antarabangsa AMT di New York dan Festival Filem Dunia di Cannes.

    Gambar Pexels

    Menurut laporan, filem berkenaan mengambil masa kurang daripada sebulan untuk empat pakar AI untuk menyiapkannya dengan seluruh proses produksi menggunakan lebih 10 alat AI yang berbeza.

    Filem-filem pendek berkenaan berkongsi beberapa ciri yang sama iaitu durasi kedua-duanya di bawah 20 minit dan filem dihasilkan lebih seperti demonstrasi teknologi berbanding filem sebenar.

    Tetapi wajah manusia dalam filem berkenaan lebih menarik perhatian penonton apabila para pengkritik dengan pantas mengatakan watak dijana AI kelihatan kaku dengan tekstur kulit yang kelihatan terlalu licin dan sempurna.

    Lebih-lebih lagi watak warga emas yang lebih cenderung mempunyai kilauan tiruan yang menimbulkan perasaan aneh dan tidak masuk akal kepada sesetengah penonton.

    Hollywood juga turut menerima kritikan yang sama apabila dua filem klasik James Cameron True Lies dan The Abyss melalui proses penghasilan semula menggunakan teknologi pembelajaran mesin atau machine learning pada tahun lepas.

    Ramai kagum dengan versi baharu filem tersebut yang menampilkan kejelasan imej yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Namun ramai juga yang tidak suka melihat wajah pelakon-pelakon seolah-olah dilucutkan daripada tekstur asalnya dan mempunyai kilauan seperti plastik. – ANN/ The Korean Herald

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda