Pengarah filem terkenal David Lynch meninggal dunia kelmarin.
Daily Mail melaporkan David menghembuskan nafas terakhir pada usia 78 tahun akibat penyakit emfisema.
Mendiang pada Ogos tahun lalu mendedahkan dia menghidap penyakit tersebut dipercayai kesan tabiat merokok.
Dilahirkan di Missoula, Montana pada 20 Januari 1946, David mencipta nama sebagai seorang tokoh unik dalam dunia perfileman Hollywood.
Antara karyanya yang paling ikonik termasuk filem Blue Velvet, Mulholland Drive dan siri televisyen Twin Peaks.
Sepanjang kerjayanya, Lynch diiktiraf dengan pelbagai anugerah termasuk Anugerah Kehormat Akademi pada tahun 2019.
Keluarga mendiang mengumumkan pemergiannya dalam satu hantaran di Facebook dan menyifatkan pemergian David sebagai satu kehilangan besar dalam hidup mereka. – Agensi