LISBON, 9 OGOS – Pemain veteran Portugal, Pepe, kelmarin mengumumkan menerusi video di media sosial bahawa dia akan bersara daripada bola sepakpada usia 41 tahun.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada awda semua,” kata bek tengah itu sambil memetik kelab yang diwakilinya, serta pasukan kebangsaan Portugal dan keluarganya.
“Semua orang memberikan sokongan kepada saya untuk pergi dengan fikiran yang tenang,” ujarnya lagi.
Pepe menyertai pasukan Portugal Maritimo pada usia 18 tahun dan kemudian bermain untuk Porto, gergasi Sepanyol, Real Madrid dan kelab Turkiye, Besiktas.
Dia menghabiskan 10 tahun penuh dengan memenangi trofi bersama Madrid, iaitu tiga Liga Juara-Juara, dua Piala Dunia Kelab dan tiga gelaran liga Sepanyol.
Dia juga pernah bermain dua kali di Porto, antara 2004 hingga 2007 dan 2019 hingga 2024, memenangi empat kejuaraan Portugal dan lima Piala Portugal.
Bekas rakan sepasukan di Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo, memberikan penghormatan kepada Pepe dalam satu catatan di Instagram, “Tiada perkataan untuk menyatakan apa yang awda maksudkan kepada saya.
“Kami memenangi segala-galanya di atas padang, tetapi kejayaan terbesar adalah persahabatan dan rasa hormat yang saya ada untuk awda.
“Terima kasih banyak-banyak,” tambahnya. – AFP