Wednesday, September 18, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbanyak selawat, raih syafaat di akhirat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Umat Islam diingatkan tentang kepentingan mengucapkan selawat sebagai tanda kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta amalan yang bakal membawa ganjaran besar di dunia dan akhirat.

    Khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk Mencintai Rasulullah SAW dengan Berselawat turut menegaskan bahawa sesiapa yang tidak mengucapkan selawat apabila mendengar nama Rasulullah SAW disebut adalah tergolong dalam kalangan yang bakhil.

    “Banyak ganjaran yang akan diperolehi oleh orang yang sentiasa melazimnkan dirinya berselawat, selain itu, ganjaran berselawat juga akan mendapat syafaat di akhirat kelak,” ujar khatib.

    Khatib dalam khutbahnya turut mengongsikan, walaupun lafaz selawat itu ringkas, namun amalan itu mempunyai kelebihan yang luar biasa.

    “Selawat adalah mudah dilafazkan dan memerlukan sedikit masa, namun ganjaran yang diperoleh sangat besar. Justeru, umat Islam diseru melafazkannya dengan ikhlas, bukan hanya untuk meraih ganjaran,” tambah khatib.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Khatib turut berkongsi bahawa Selawat Ibrahimiyah, yang sering dibaca dalam solat, adalah bentuk selawat yang paling lengkap.

    “Selawat ini adalah lambang penghormatan tertinggi kita kepada Rasulullah SAW, yang merupakan penutup segala nabi,” jelasnya lagi.

    Selain itu, khutbah tersebut turut menekankan peranan Rasulullah SAW sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.

    “Baginda tidak diutus hanya untuk satu bangsa, tetapi untuk kesejahteraan seluruh manusia, membawa ajaran yang memadamkan kegelapan syirik dan kekufuran,” kata khatib.

    Sempena kelahiran Rasulullah SAW yang disambut setiap 12 Rabiulawal, umat Islam di seluruh dunia, termasuk Brunei Darussalam, mengadakan pelbagai acara keagamaan bagi memperingati Baginda.

    Majlis Dikir Syarafil Anam akan berlangsung selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid, surau-surau, dan balai-balai ibadat di seluruh negara. Sambutan tersebut juga dimeriahkan dengan ceramah agama dan forum untuk menambah penghayatan beragama serta memupuk kecintaan kepada Baginda.

    Khatib mengakhiri khutbah dengan menyeru umat Islam untuk terus memperbanyakkan selawat serta mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

    “Kita bendar-benar merindui Rasulullah SAW dan kerinduan itu adalah tidak bertepi, semua denganya kita akan mendapat syafaat Baginda SAW diakhirat kelak, serta mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda