Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Dalam usaha meneruskan dedikasi kepada pembangunan mampan dan penyelidikan canggih, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama ASEAN University Network Southeast Asia Engineering Education Development Network (AUN/SEED-Net) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Kejuruteraan dan Bahan Termaju (ICEAM) 2025 yang bermula sejak kelmarin sehingga hari ini.
Persidangan yang berlangsung di Hotel Radisson di ibu negara itu telah dirasmikan oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.
Turut hadir pada majlis perasmian persidangan berkenaan adalah Duta-duta Besar, wakil-wakil daripada AUN/SEED-Net, rakan-rakan industri, ahli-ahli pengurusan kanan UBD, ahli-ahli fakulti, pelajar-pelajar dan delegasi daripada komuniti kejuruteraan dan bahan global.
Persidangan berkenaan menggunakan format hybrid bagi membolehkan kedua-dua penyertaan secara bersemuka dan maya untuk menggalakkan penglibatan global yang lebih besar.
Di bawah tema Kejuruteraan dan Bahan Mampan, persidangan itu menghimpunkan lebih 100 penyelidik, saintis dan ahli profesional dari industri Brunei dan seluruh dunia untuk membincangkan inovasi dalam sistem tenaga, kecerdasan buatan dalam bidang kejuruteraan, amalan ekonomi dan pembaharuan tenaga.
Persidangan turut diisi dengan pelbagai pembentangan termasuk sesi plenari oleh Profesor Dr John T.S. Irvine dari Universiti St Andrews, UK dan ahli-ahli akademik yang lain termasuk Profesor Dr Junji Inukai dari Universiti Yamanashi, Jepun; Dr Mahendra Rao Somalu dari Lynas Rare Earths Ltd, Malaysia dan Profesor Dr Asep Bayu Dani Nandiyanto dari Universitas Pendidikan Indonesia, Bandung.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dekan Kejuruteraan di Fakulti Teknologi Bersepadu, Dr Juliana Haji Zaini antara lain menekankan kepentingan tema persidangan yang menggariskan komitmen UBD untuk menangani cabaran global melalui penyelesaian inovatif.
Sesi dan perbincangan pada persidangan berkenaan direka untuk memberi inspirasi untuk mengambil tindakan dalam menangani isu-isu yang mendesak.
Penolong Pengarah Eksekutif AUN/SEED-Net, Profesor Dr Kasem Choocharukul pula menjelaskan, “Acara ini adalah usaha kerjasama antara Persidangan Serantau AUN/SEED-Net dan salah satu institusi ahli kami yang dihormati, Universiti Brunei Darussalam (UBD). ICEAM 2025 mempunyai kepentingan khusus untuk AUN/SEED-Net, kerana ia merupakan forum akademik pelbagai disiplin bersepadu yang menghimpunkan penyelidikan, industri dan komuniti. UBD telah dianugerahkan geran daripada AUN/SEED-Net, dan saya berharap ini akan mengukuhkan kerjasama masa depan antara AUN/SEED-Net dan UBD.”
ICEAM 2025 telah menyusun pelbagai sesi yang memfokuskan kepada bahan mampan, inovasi tenaga, transformasi digital dan teknologi penangkapan karbon.
Persidangan itu juga berfungsi sebagai platform untuk pertukaran pengetahuan, memupuk kerjasama antara penyelidik akademik, pakar industri dan pengamal.
Selain memajukan kerjasama akademik dalam kalangan ASEAN dan institusi antarabangsa, ICEAM 2025 turut menyokong visi bersama negara-negara ASEAN dalam memupuk pembangunan mampan dan inovasi teknologi melalui penyelidikan bersama dan inisiatif perkongsian pengetahuan.
Ini sejajar dengan Pelan Induk Mampan UBD, yang membimbing kakitangan universiti dan pelajar dalam menggabungkan amalan kemampanan, penyelidikan dan inovasi yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi; SDG 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih; dan SDG 13: Tindakan Iklim.
Persidangan seperti ICEAM 2025 menunjukkan komitmen berterusan UBD untuk memupuk inovasi global, kemampanan dan kerjasama antara disiplin, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam kejuruteraan dan penyelidikan bahan termaju.