Monday, May 20, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Petani Sabah disaran teroka limau bali

    KOTA KINABALU, 9 MEI – Sabah merekodkan pengeluaran limau bali sebanyak 134,000 kilogram bernilai RM527,000 setakat 7 Mei lepas, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

    Beliau berkata hal itu secara tidak langsung mencerminkan potensi pertanian limau bali yang boleh diterokai oleh para petani di Sabah.

    “Pada 2023, industri limau bali di Sabah mencatatkan hasil sebanyak 268,000 kilogram bersamaan dengan RM966,000. Sabah merupakan satu daripada pengeluar limau bali utama di Malaysia selain Perak.

    “Justeru, bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dalam pengeluaran serta pengeksportan limau bali, satu standard atau piawaian dalam kalangan petani dan pengeluar limau bali tempatan harus diwujudkan selaras dengan konsep PINTAR yang menjadi hala tuju kementerian tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Amalan Pemasaran Baik, Standard Dan Kualiti Buah Limau Bali anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah di Tenom, hari ini.

    Datuk Arthur Joseph Kurup menunjukkan bawang yang dituai pada Program Penuaian Projek Tanaman Bawang di Sungkai, Perak pada 3 April. Beliau memberi saranan petani Sabah supaya teroka tanaman limau bali. – Bernama

    Program itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sabah, Bahagian Kawalan Racun dan Perosak Baja, Jabatan Pertanian Malaysia serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sabah.

    Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan sesi menandatangani Perjanjian Hadapan (Forward Agreement) antara FAMA Sabah dengan 22 peserta penanam buah limau bali Tenom.

    Menerusi perjanjian itu katanya, FAMA Sabah menyasarkan pembekalan limau bali sebanyak 10 metrik tan seminggu dan sejumlah 480 metrik tan setahun dengan kenaikan harga awal RM3.80 sekilogram berbanding harga semasa RM3.60 sekilogram.

    Arthur percaya peserta tanaman limau bali di Tenom akan dapat mencapai sasaran ditetapkan dengan bimbingan agensi kementeriannya di Sabah serta sokongan padu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri.

    Usaha itu juga sekali gus berupaya menjadikan industri penanaman limau bali sebagai pemangkin untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat di Tenom, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...