Friday, May 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    Petugas terlanggar tandas tertua abad ke-15

    TOKYO, 18 OKT – Seorang lelaki Jepun yang ditugaskan untuk memelihara warisan budaya secara tidak sengaja mengundurkan keretanya ke arah tapak tandas tertua di negara itu, di sebuah kuil Buddha yang berusia berabad-abad, sehingga merosakkan sebahagian daripadanya, menurut kenyataan polis hari ini.

    Kuil Tofukuji yang terletak di wilayah Kyoto barat menempatkan tandas yang dikatakan wujud sejak abad ke-15, menjadikannya aset budaya yang penting.

    Bagaimanapun, pintu kayu asal yang menuju ke tapak itu ‘musnah’ selepas pemandu, seorang lelaki berusia 30 tahun dari Persatuan Pemuliharaan Warisan Budaya Kyo-to, secara tidak sengaja mengundurkan keretanya ke arah tandas itu, awal pagi kelmarin.

    Selepas meletakkan kenderaan di hadapan tandas berkenaan, lelaki itu menekan pedal minyak untuk menghidupkan semula keretanya tanpa menyedari kereta dipandunya masih dalam keadaan untuk mengundur.

    “Kami diberitahu tandas itu memerlukan banyak kerja untuk dipulihkan,” kata seorang pegawai polis Kyoto.

    Dinding di bahagian dalam turut mengalami sedikit kerosakan, namun tandas sebenar, membabitkan dua barisan lubang, terselamat, kata Norihiko Murata, seorang pegawai yang bertanggungjawab dalam pemeliharaan warisan budaya.

    Tandas itu secara tradisi digunakan oleh sami sebagai sebahagian daripada latihan pertapaan mereka, namun ia tidak lagi digunakan.

    “Sudah tentu ia mengecewakan, sebahagian daripada harta budaya yang penting sudah rosak,” kata Murata.

    “Kami akan membincangkan bagaimana untuk memulihkannya dengan cara yang akan mengekalkan sebanyak mungkin nilai budayanya,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka kematian lebuh raya runtuh di China meningkat kepada 48

    BEIJING, 2 MEI - Angka kematian akibat runtuhan lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China telah meningkat kepada 48, kata media kerajaan hari ini,...