Monday, May 20, 2024
34.6 C
Brunei

    -

    Piagam ASEAN pacu usaha tangani krisis Myanmar

    JAKARTA, 27 OKT – Mesyuarat Khas Menteri-menteri Luar ASEAN hari ini sebulat suara bersetuju bahawa prinsip asas yang ditetapkan dalam Piagam ASEAN akan memacu usaha kolektif kumpulan itu bagi menangani situasi di Myanmar.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata keputusan ASEAN itu berdasarkan rundingan dan konsensus.

    Menteri dan perwakilan turut mengulangi kepentingan dan kaitan Konsensus Lima Perkara (5PC) serta menekankan keperluan memperkukuh lagi pelaksanaannya melalui tindakan konkrit, praktikal dan tertakluk pada had masa.

    “Masa untuk bertindak sekarang dan ASEAN perlu bertindak secara bersama dengan menghormati kedaulatan dan integriti wilayah dengan mengambil kira kepentingan rakyat Myanmar sebagai teras,” katanya dalam satu kenyataan.

    Prak yang juga utusan khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, berkata semua pihak yang prihatin di negara itu mempunyai kepentingan dalam menamatkan atau memburukkan lagi krisis politik dan amat penting agar proses dialog dimulakan secepat mungkin.

    Prak Sokhonn (tiga kiri) bercakap ketika Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi (dua kanan) mendengar semasa mesyuarat khas ASEAN di Jakarta, Indonesia pada 27 Oktober. – AP

    Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai cadangan utama yang akan dikemukakan untuk pertimbangan Pemimpin ASEAN pada ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 bulan depan bagi memastikan pelaksanaan penuh dan berkesan 5PC.

    Menteri dan perwakilan turut membuat penilaian di lapangan meskipun keadaan masih kritikal dan rapuh kerana konflik di Myanmar telah berlarutan selama berdekad-dekad dan diburukkan lagi oleh krisis politik semasa.

    Seorang wakil rakyat bukan politik dari Myanmar telah diundang ke mesyuarat itu tetapi tidak mendapat maklum balas positif, menurut kenyataan itu.

    Kelmarin, badan serantau 10 anggota itu menyuarakan kebimbangan dengan peningkatan keganasan di Myanmar termasuk pengeboman di penjara Insein, persengketaan di Karen dan laporan mengenai serangan udara di Kachin, hingga mengakibatkan ramai orang terbunuh atau cedera.

    Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyuarakan rasa kesal dengan laporan serangan udara di Hpakant. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lai Ching-te dilantik sebagai presiden Taiwan

    TAIPEI, 20 MEI - Lai Ching-te mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Taiwan pada Isnin, memulakan penggal di mana beliau dijangka meneruskan dasar kemerdekaan de...