JAKARTA, 3 DIS – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan Kabinet Merah Putih untuk menyokong industri penerbangan susulan keputusan menurunkan tambang penerbangan sebanyak 10 peratus menjelang cuti akhir tahun, lapor agensi berita, ANTARA.
Beliau berkata dasar itu adalah langkah yang tepat, namun keadaan industri juga perlu diambil kira.
“Kita mesti berwaspada agar penurunan tambang penerbangan ini tidak merugikan industri penerbangan,” tegasnya dalam mesyuarat Kabinet pleno di Istana Presiden, Jakarta, kelmarin.
Beliau turut meminta menteri Kabinet meningkatkan kerjasama untuk membuat persiapan optimum bagi keselamatan serta semua aktiviti berkaitan cuti Hari Krismas dan Tahun Baharu yang akan datang.
Dalam hal ini, beberapa menteri diminta meningkatkan penyelarasan, termasuk Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, Agus Harimurti Yudhoyono; Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi; Menteri Pelancongan Widiyanti Putri Wardhana; dan Menteri Kerja Raya, Dody Hanggodo.
“Untuk penghujung tahun, Krismas, dan cuti Tahun Baharu 2025, sila lakukan persiapan secara maksimum,” katanya kepada jemaah menteri.
Beliau turut menekankan kerjasama antara kementerian dan agensi diperlukan supaya momentum percutian itu dapat digunakan untuk meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan kepercayaan rakyat. – Bernama