Wednesday, September 18, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Iran tiba di Kurdistan Iraq

    ARBIL, 12 SEPT – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, tiba di Kurdistan Iraq, hari ini, untuk bertemu pemimpin wilayah autonomi itu, dalam lawatan hari kedua yang bertujuan untuk mempererat hubungan dengan negara jirannya.

    Ia merupakan lawatan luar negara pertama Pezeshkian sejak memegang jawatan pada bulan Julai.

    Setibanya di Arbil, ibu kota Kurdistan Iraq, Pezeshkian disambut oleh Presiden wilayah, Nechirvan Barzani dengan permaidani merah yang diiringi oleh pasukan Peshmerga Kurdistan, berdiri tegak dengan senapang di sisi mereka.

    Pezeshkian mengadakan perbincangan dengan Nechirvan Barzani dan Perdana Menteri Kurdistan, Masrour Barzani, sebelum menuju ke Sulaimaniyah, sebuah bandar yang dikuasai oleh parti politik Kesatuan Patriotik Kurdistan (PUK), mempunyai pengaruh termasuk dalam perkhidmatan keselamatan tempatan.

    Kelmarin di Baghdad, iaitu bahagian pertama lawatan tiga harinya, Pezeshkian mengumumkan penandatanganan lebih puluhan perjanjian untuk memperkukuh hubungan antara Iran dan Iraq.

    Lawatan Pezeshkian berlaku ketika ketegangan meningkat di Timur Tengah akibat perang di Gaza, yang telah melibatkan kumpulan bersenjata yang disokong Iran dan merumitkan hubungan Iraq dengan Amerika Syarikat.

    Hubungan Iran dengan Kurdistan Iraq telah bertambah baik dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dibantu oleh usaha untuk meneutralkan kumpulan pembangkang Kurdish Iran yang telah lama beroperasi di wilayah itu. – AFP

    Nechirvan Barzani (kanan) menyambut Masoud Pezeshkian, di ibu kota wilayah Kurdish Iraq, Arbil, setelah ketibaannya dari Baghdad pada 12 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda