Monday, May 20, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Presiden Korea S mahu wujudkan kementerian tangani krisis kelahiran

    SEOUL, 9 MEI – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol berkata hari ini bahawa beliau mahu mewujudkan kementerian baharu bagi menangani masalah kadar kelahiran rendah negara itu, terendah di dunia dan kini semakin menghampiri krisis demografi.

    “Saya meminta kerjasama Parlimen untuk menyemak semula organisasi kerajaan bagi menubuhkan Kementerian Perancangan Mengatasi Kadar Kelahiran Rendah,” katanya dalam ucapan secara langsung menerusi televisyen kepada seluruh negara.

    Data rasmi menunjukkan, kadar kelahiran di Korea Selatan jatuh ke paras terendah tahun lalu walaupun berbilion dolar sudah dibelanjakan dalam usaha menggalakkan wanita mempunyai lebih ramai anak dan mengekalkan kestabilan penduduk.

    Negara itu mempunyai salah satu jangka hayat terpanjang di dunia namun kadar kelahiran terendah, gabungan yang melonjakkan cabaran demografi.

    Berdasarkan data awal statistik pada Februari, kadar kesuburan di Korea Selatan, iaitu jangkaan bilangan kanak-kanak yang dilahirkan seorang wanita sepanjang hayatnya menurun kepada 0.72 pada tahun lalu, berkurangan hampir lapan peratus berbanding 2022.

    Jumlah itu jauh daripada 2.1 kanak-kanak yang diperlukan untuk mengekalkan populasi semasa sebanyak 51 juta, yang mana pakar menganggarkan kadar itu akan menjadi hampir separuh menjelang 2100.

    Kadar kelahiran di Korea Selatan pada 0.72 adalah yang terendah dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) manakala purata usia untuk melahirkan anak ialah 33.6, tertinggi dalam OECD.

    Ia berlaku meskipun kerajaan membelanjakan jumlah besar untuk menggalakkan lebih banyak kelahiran termasuk subsidi tunai, perkhidmatan penjagaan anak damit dan sokongan untuk rawatan kemandulan.

    Bagaimanapun, kadar kelahiran terus menurun secara kronik. – AFP

    Orang ramai sedang menonton berita televisyen yang menyiarkan rakaman langsung Presiden Korea Selatan menyampaikan ucapan, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...