Monday, May 20, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Program KKDW bantu pembangunan, penduduk luar bandar

    KINABATANGAN, 9 MEI – Lebih 2,000 penduduk luar bandar mengambil peluang mengunjungi Program Sentuhan Kasih Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Keusahawan Desa Madani selama dua hari di Dataran Tamu Sukau di sini hari ini.

    Program berkenaan yang bermula hari ini merupakan satu usaha pemerkasaan usahawan luar bandar di bawah KKDW untuk memartabatkan produk serta perkhidmatan usahawan berkenaan.

    Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Dewan dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui selepas merasmikan program itu berkata ia merupakan kesinambungan kepada program di peringkat nasional, dan KKDW memilih Sukau di Kinabatangan ini sebagai salah sebuah kawasan yang perlu diberikan tumpuan pembangunan selain membantu penduduk luar bandar.

    “Agensi di bawah KKDW antara lain membantu memberikan kursus serta latihan keusahawanan antaranya seperti agensi KEMAS yang menganjurkan program latihan dan pembiayaan kepada usahawan.

    “Hari ini adalah pameran hasil produk yang dikeluarkan oleh usahawan luar bandar sebagai suatu galakan dan usaha memasarkan produk milik mereka,” katanya.

    Ahmad Zahid berkata pihaknya juga bekerjasama dengan kementerian lain antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, bagi memberi latihan berkaitan inap desa kepada usahawan berkaitan, selain memberi pembiayaan menaik taraf atau membaiki inap desa.

    Pada program itu 38 gerai serta pameran dibuka, selain empat kaunter bergerak, di samping penyertaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang terlibat dengan program Jualan Rahmah.

    Pada program itu, kaunter bergerak Jualan Rahmah antara yang menjadi tumpuan pengunjung untuk berbelanja dan Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata 242 Jualan Rahmah telah diadakan di Sabah setakat ini. – Bernama

    Acara perasmian Sentuhan Kasih Desa KKDW dan Keusahawanan Desa Madani di Dataran Tamu, Sukau oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...