Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek STOLport Bebuling catat kemajuan memberangsangkan

    KUCHING, 22 JAN – Projek Lapangan Terbang Berlepas dan Pendaratan Pendek (STOLport) Bebuling bernilai RM296 juta di Betong, Sarawak mencatatkan kemajuan memberangsangkan yang menyaksikan 70.16 peratus pembinaan telah pun siap berbanding perancangan awal iaitu 69.77 peratus.

    Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek itu yang dijangka siap Ogos tahun ini menyaksikan kemajuan ketara termasuk penyiapan bangunan terminal.

    “Saya amat gembira dengan kemajuan Bebuling STOLport.

    “Walaupun isu kecil dihadapi kontraktor, saya yakin mereka dapat mengatasinya dan memastikan projek itu berjaya disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata tumpuan kini pada pemasangan sistem lapangan terbang, menyiapkan kerja-kerja di landasan dan laluan teksi serta tempat letak kereta serta jalan masuk utama.

    Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menerima taklimat terperinci mengenai projek itu semasa lawatan ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong semalam.

    Beliau berkata satu lagi projek utama di bahagian itu iaitu Jambatan Sungai Paku di Tanjung Sebekut, Spaoh juga berjalan lancar memandangkan jambatan gerbang keluli sepanjang 107 meter bernilai RM36.9 juta sudah siap 48.65 peratus, lebih awal berbanding kemajuan yang dijadualkan iaitu sebanyak 48.37 peratus. – Bernama

    Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) semasa menghadiri Majlis Makan Malam Sempena Perhimpunan JKR Sarawak tahun 2025 di Pusat Konvensyen Borneo pada 15 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda