Tuesday, May 21, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Rasulullah S.A.W. contoh terbaik dalam mewujudkan keluarga bahagia

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Islam memandang keluarga sebuah institusi pencorak masyarakat yang bakal dibina, agama Islam juga mengatur aspek kehidupan manusia dan mendorong manusia untuk menjalin hubungan baik dengan sesama manusia, termasuk usaha untuk menunjukkan kasih sayang dalam keluarga.

    Keluarga yang terjalin dengan kasih sayang akan mewujudkan keluarga yang harmoni, dan jika suami isteri boleh memahami antara satu sama lain, mereka akan kelihatan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pasangan mereka.

    Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini dengan tajuk ‘Keluarga Harapanku’ seterusnya menekankan, sebuah keluarga adalah sangat penting dalam proses pembentukan masyarakat dan seterusnya negara, tanpa institusi keluarga, kewujudan negara tidak akan sempurna.

    Dalam Islam, tegas Khatib, tanggungjawab kepimpinan keluarga pada asasnya terletak pada kaum lelaki, walau bagaimanapun dalam memastikan kejayaan dan keharmonian institusi ini, kedua-dua belah pihak ibu dan bapa seharusnya memainkan peranan yang sama penting.

    “Sebagai suami peranan asas dalam mendidik keperluan seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian, bukan itu sahaja sebagai seorang ayah, beliau juga bertanggungjawab untuk memberi pendidikan akademik untuk perkembangan minda dan pendidikan agama untuk kesejahteraan rohani dan fizikal.”

    Manakala bagi ibu pula, jelas Khatib, tanggungjawab utama adalah memastikan kelancaran dalam sistem rumahtangga yang disulami dengan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati di mana kedudukan dan kemuliaan sebagai seorang ibu inilah menjaga faktor asas dalam keharmonian keluarga bahagia.

    Khatib seterusnya menjelaskan, “keluarga bahagia ialah keluarga yang dibina berasakan ketakwaan kepada Allah dan memperolehi rahmat di dunia dan di akhirat.”

    Keluarga bahagia, jelas Khatib, adalah keluarga yang sihat, hidup dalam suasana gembira, bersikap saling sayang-menyanyangi, hormat-menghormati dan terpelihara dari segala perkara negatif dalam aspek kehidupan.

    Katanya lagi,“pembentukan keluarga yang bahagia sebenarnya memerlukan penyertaan dan kerjasama semua ahli rumah.”

    Sifat hormat-menghormati adalah salah satu sifat terpuji dalam Islam, antara contoh sifat saling hormat menghormati yang boleh diterapkan dalam sebuah institusi keluarga ialah memberi layanan mesra dan sopan, saling bekerjasama, saling menghargai antara satu dengan yang lain dan menghargai budi serta jasa.

    Khatib seterusnya menegaskan, sikap hormat-menghormati hendaklah disemai sejak dari kecil lagi dengan mendidik dan mengajar anak-anak supaya sentiasa memegang sikap tersebut, lebih-lebih lagi untuk menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

    “Perkara ini boleh dilakukan semasa anak-anak masih lagi bertitih iaitu semasa mereka masih kecil, dan dengan itu segala perkara yang diajar kepada anak-anak akan mudah diterap dalam sanubari mereka dan seterusnya menjadi ikutan dalam kehidupan mereka selama-lamanya,” jelasnya.

    Di dalam Al-Quran, banyak ditemukan ayat-ayat mengenai akhlak dan budi pekerti terhadap keluarga garis besarnya terhagai kepada tiga perkara iaitu hubungan suami isteri, hubungan ibu bapa dan anak, dan hubungan dengan kaum kerabat.

    Nilai sayang-menyayangi, tanggungjawab, hormat menghormati dan pemedulian adalah elemen terpenting dalam berkeluarga, dan sekiranya semua itu tidak ada, gagallah keluarga untuk menghadapi nikmat kebahagiaan.

    Rasulullah S.A.W. adalah contoh terbaik dalam membina dan mewujudkan keluarga bahagia, dan dalam kehidupan berumah tangga, Rasulullah S.A.W. adalah seorang suami dan bapa yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarga.

    Malah Rasulullah S.A.W. juga merupakan seorang bapa yang sangat mencintai serta mengasihi putera dan puteri.

    “Baginda juga seorang suami yang ringan tulang dengan sering membantu isterinya dalam menguruskan rumahtangga tanpa dipinta, dan dalam hubungan dengan kaum kerabat pula, Baginda sangat mengambil perhatian, memuliakan dan menjaga hubungan baik dengan mereka,” tambahnya.

    Begitu indahnya keperibadian Rasulullah S.A.W. yang menunjukkan cinta dan kemesraan terhadap keluarga Baginda. Sifat mulia ini sangat sesuai dipraktikan dalam keluarga bagi melahirkan kasih sayang antara suami isteri serta anak-anak,” tambahnya.

    Khatib dalam khutbah turut menjelaskan, melayani serta memberi kecintaan kepada keluarga juga sebahagian dari sunah Rasulullah S.A.W. dan semoga kita semua berjaya membawa contoh terbaik Rasulullah S.A.W. ke dalam keluarga.

    – Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Naib Presiden Iran akan ganti Raisi

    TEHRAN, 20 MEI - Naib Presiden pertama Iran, Mohammad Mokhber, 68, dijangka mengambil alih jawatan Presiden selepas kematian Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter ketika...