Tuesday, February 4, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah panjang Malo seakan ‘pulau’ dikelilingi air hampir sebulan

    BINTULU, 3 FEB – Dikelilingi air sejak hampir sebulan, rumah panjang Malo yang terletak di Nanga Penyarai kira-kira dua jam perjalanan melalui sungai dari pekan Tatau di sini, kini seakan pulau kecil yang terasing akibat banjir.

    Rumah panjang itu terputus hubungan apabila satu-satunya jalan darat ke pekan terdekat tidak dapat dilalui kerana dinaiki air.

    Tuai Rumah Malo, Jaah, 66, menyifatkan bencana banjir pada kali ini sebagai dugaan terbesar yang pernah dihadapi penduduk rumah panjang 44 pintu itu yang mula dibina pada tahun 2000.

    Dia berkata kawasan rumah panjang yang dibina berhampiran sungai itu memang pernah dinaiki air sebelum ini tetapi tidak mengambil masa begitu lama untuk surut.

    “Hujan mula melanda sejak pertengahan bulan lepas…hingga kini air belum surut dan hujan masih berlaku.

    SK Nanga Penyarai yang ditenggelami air ketika tinjauan pada 2 Februari. – Bernama

    Penduduk tidak dapat keluar mencari rezeki dan tanaman pula banyak yang musnah, jadi buat masa ini kami boleh cari ikan sahaja.

    “Banjir kali ini memang paling dahsyat, tidak pernah lagi seperti ini. Semua kawasan di daerah Tatau terjejas, jalan putus dan rumah tenggelam.

    Nasib baik rumah panjang kami dibina sedikit tinggi jadi terselamat daripada ditenggelami air,” katanya kepada Bernama.

    Selain rumah panjang Malo, kawasan sekitar rumah itu seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai dan Klinik Kesihatan Kakus turut terjejas akibat dinaiki air.

    Penolong kanan SK Nanga Penyarai, Mohd Faishal Ibrahim yang telah berkhidmat di sekolah itu lebih 20 tahun, berkata buat masa ini terdapat kira-kira 100 orang yang terkandas di kawasan Nanga Penyarai termasuk lima staf sekolah dan tiga staf klinik Kakus.

    Semalam, Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kakus Datuk Seri John Sikie Tayai berkata 14 tan bekalan makanan telah dihantar kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman daerah Tatau, kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar Bintulu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda