Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Samsung tarik balik lebih 1.12 juta dapur elektrik

    WASHINGTON, 9 OGOS – Samsung Electronics menarik balik lebih 1.12 juta dapur elektrik jenis slide-in selepas menerima laporan mengenai 250 insiden kebakaran dan puluhan kecederaan berpunca daripada produk tersebut.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (CPSC) kelmarin, dapur elektrik tersebut dilengkapi dengan tombol hadapan yang boleh diaktifkan secara tidak sengaja jika tersentuh atau
    terlanggar oleh orang atau haiwan peliharaan, sekali gus menimbulkan risiko kebakaran.

    Sehingga kini, Samsung telah menerima lebih 300 laporan mengenai tombol yang diaktifkan secara tidak sengaja sejak 2013, menurut CPSC.

    Dapur elektrik yang ditarik balik itu telah terlibat dalam kira-kira 250 kejadian kebakaran, dengan 18 daripadanya menyebabkan kerosakan harta benda yang serius dan tujuh yang lain melibatkan kematian haiwan peliharaan.

    Selain itu, CPSC memaklumkan bahawa sebanyak 40 kes kecederaan turut dilaporkan, termasuk lapan kes yang memerlukan rawatan perubatan.

    Pengguna boleh mengenal pasti sama ada dapur elektrik mereka termasuk dalam senarai penarikan balik ini dengan memeriksa nombor model yang tertera pada produk. Samsung dan CPSC telah menerbitkan senarai model yang terjejas dalam talian.

    Dapur elektrik yang terlibat dalam penarikan balik itu dijual antara Mei 2013 dan Ogos 2024 melalui laman sesawang Samsung.com serta di beberapa peruncit utama di seluruh negara termasuk Best Buy, Costco, Home Depot dan Lowe’s. – AP

    Gambar fail bertarikh 31 Julai menunjukkan logo Samsung Electronics Co di bangunan ibu pejabatnya di Seoul, Korea Selatan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda