BINTULU, 22 JULAI – Sarawak bakal menjadi pemain utama pasaran metanol global dengan pelancaran Kompleks Metanol Sarawak Petchem bernilai RM7 bilion di Tanjung Kidurong, di sini, hari ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek itu merupakan satu lagi pelaburan utama di negeri ini yang berfungsi sebagai pemangkin untuk meningkatkan lagi pembangunan ekonomi, pertumbuhan mampan dan keterangkuman sosial.
“Dengan pencapaian ini, kita boleh berbangga bahawa Sarawak akan menjadi salah satu pengeluar metanol global, yang mampu mengeluarkan sehingga 1.75 juta tan metrik setahun,” katanya pada pelancaran kompleks itu, di sini, hari ini.
Beliau berkata projek metanol itu merupakan satu daripada enam projek pemangkin yang dikenal pasti untuk meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Sarawak dengan tambahan RM34 bilion menjelang 2030.
“Saya menantikan projek besar lain yang boleh memantapkan sektor pembuatan kami seperti projek H2ornbill dan H2biscus di Bintulu. Saya menaruh harapan tinggi agar kedua-dua projek ini dapat direalisasikan sebelum 2030,” katanya.
Abang Johari berkata projek loji metanol menyediakan platform untuk membangunkan tenaga kerja mahir sambil mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Menurutnya, kepulangan tenaga kerja anak Sarawak dari luar negara dan Semenanjung Malaysia untuk menyertai Sarawak Petchem menunjukkan bahawa permintaan untuk pekerja berkemahiran tinggi akan terus menjadi keperluan mendesak dalam tempoh 10 tahun akan datang. – Bernama