Tuesday, November 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekolah St John anjur majlis graduasi

    Oleh Daniel lim – 

    BELAIT, 25 NOV – Pelajar Tadika (KG), Tahun 6 dan Tahun 11 Sekolah St John telah diraikan dalam majlis graduasi yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, baru-baru ini.

    Pada majlis yang diadakan 21 November, ia telah dihadiri oleh guru-guru, kakitangan sekolah termasuk para penjaga dan ibu bapa bagi meraikan pelajar KG dan Tahun 6.

    Manakala pada majlis yang diadakan pada 23 November telah meraikan pelajar Tahun 11.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Gabenor Sekolah St John, Lee Yin Fah.

    Kehadiran beliau dan tetamu lainnya yang terdiri daripada para guru, kakitangan, ibu bapa dan penjaga sekolah telah dialu-alukan oleh pengetua sekolah berkenaan.

    Salah seorang pelajar tadika menerima sijil tamat pengajian semasa majlis graduasi. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH ST JOHN
    Gambar persembahan yang diadakan semasa majlis graduasi tadika. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH ST JOHN
    Gambar Berkumpulan pelajar Tahun 11 yang tamat pengajian bersama tetamu kehormat dan kakitangan sekolah. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH ST JOHN
    Gambar salah seorang pelajar Tahun 11 menerima sijil tamat pengajian daripada tetamu kehormat semasa majlis graduasi. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH ST JOHN
    Gambar persembahan grand final yang diadakan semasa majlis graduasi Tahun 11. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH ST JOHN

    Dalam ucapan perasmiannya, Lee Yin Fah mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang diraikan pada majlis itu kerana telah mencapai kejayaan dalam perjalanan akademik mereka.

    “Kami dapat menyaksikan pertumbuhan mereka dari tadika hingga Tahun 11, dan sepanjang 13 tahun yang lalu, mereka semua telah dapat mengatasi banyak cabaran, terutamanya semasa pandemik global,” ujarnya.

    Beliau berharap para pelajar akan mengenang kembali bukan sahaja tentang kisah silam tetapi juga perkembangan mereka apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

    Tambahnya lagi, “Apapun hala tuju masa depan mereka, ketahuilah bahawa Sekolah St John akan sentiasa mengalu-alukan mereka kembali sebagai alumni yang membanggakan.”

    Selepas ucapannya, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil graduasi kepada para pelajar. Majlis turut diserikan lagi dengan beberapa persembahan daripada pelajar sekolah berkenaan.

    Di samping itu, dua wakil pelajar iaitu Dayang Nur ‘Asrinaz binti Muhd ‘Asri dan Dayang Anna Althafunnisa binti Feisal juga berkesempatan memberikan ucapan graduasi dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

    Majlis diakhiri dengan acara kemuncak di mana para pelajar naik ke pentas untuk menyanyikan lagu Darah Muda dan Count On Me, bagi menamatkan 13 tahun pengajian mereka di sekolah itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda