PENAMPANG, 8 OGOS – Perpaduan perlu terus disemarakkan bagi memastikan rakyat dapat bersatu hati mempertahankan kedaulatan negara daripada pihak yang cuba mengancamnya, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia penting kerana sehingga hari ini masih ada pihak luar yang mahu menganggu gugat kedaulatan negara, sehingga ada yang berhasrat menuntut sebahagian daripada Sabah yang telah bersama-sama membentuk Malaysia sejak 16 September 1963.
“Kita lihat dan hayati banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh pemimpin kita pada 61 tahun yang lepas untuk memastikan kita mengecapi kebebasan. Namun tanpa kita sedar masih ada yang mahu menggugat kedaulatan negara.
“Sebab itulah program seperti Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) penting untuk membangkitkan semangat patriotik. Semangat untuk mencintai negara serta mengingatkan kepada rakyat bahawa cabaran itu sentiasa ada dan akan ada sentiasa anasir yang mahu memecahkan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Program KMJG Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024 Peringkat Penampang, hari ini. – Bernama