Tuesday, February 4, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serpihan pesawat dibawa keluar dari sungai

    WASHINGTON, 4 FEB – Sebahagian besar serpihan badan pesawat American Eagle yang terhempas selepas perlanggaran udara dengan helikopter Black Hawk di Washington, DC minggu lalu berjaya dikeluarkan dari Sungai Potomac kelmarin, lapor United Press International (UPI). 

    Setakat ini, 55 mangsa berjaya dikenal pasti manakala Ketua Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan DC, John Donnelly berkata beliau yakin bahawa semua mangsa nahas akan dapat ditemukan. 

    Operasi pada pagi kelmarin menyaksikan sebuah kren besar digunakan untuk mengangkat serpihan badan pesawat dari dasar sungai. Pihak berkuasa turut dilihat mengeluarkan sebuah enjin dari bangkai pesawat.

    Semua serpihan pesawat perlu dikeluarkan sepenuhnya dari lokasi nahas bagi memastikan kesemua 67 mayat mangsa dapat dijumpai, menurut pihak berkuasa.

    “Koordinasi yang dilakukan, baik di sebalik tabir mahupun di Sungai Potomac adalah sangat luar biasa. Kami tidak akan dan tidak pernah hilang fokus terhadap perkara yang paling penting – keselamatan kru kami serta usaha mengenal pasti mereka yang masih hilang bagi memberi kepastian kepada keluarga dan orang tersayang,” kata Komander Daerah Baltimore, Kolonel Francis Pera, menurut laporan NBC News

    Operasi itu dijangka selesai menjelang Sabtu, manakala kerja pembersihan serpihan lain dijadualkan selesai sebelum 12 Februari. Bagaimanapun, pihak berkuasa menjelaskan jadual itu bergantung kepada ketersediaan peralatan dan keadaan cuaca.  – Bernama/UPI

    Serpihan daripada bangkai pesawat dari Sungai Potomac yang ditarik keluar di Arlington, Virigina kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda