Monday, May 20, 2024
34.6 C
Brunei

    -

    Setem kenang-kenangan sempena HK-40 bakal dikeluarkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Para penggemar dan pengumpul setem boleh menambahkan koleksi setem khas mereka apabila Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi mengeluarkan produk filatelik iaitu Setem Kenang-kenangan bersama Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40, Tahun 2024 bermula esok.

    Tema Hari Kebangsaan ke-40 iaitu Bersatu Mencapai Cita Negara, memberikan pandangan menyeluruh mengenai semangat kebangsaan, kemerdekaan dan aspirasi pembangunan negara.

    Jabatan Perkhidmatan Pos, dalam kesempatan itu, mengeluarkan lima reka bentuk setem dengan nilai denominasi 20 sen bagi setiap satu.

    Reka bentuk lembaran setem mini adalah sebuah ilustrasi berkonsepkan kontemporari dalam bentuk poster yang menggambarkan elemen susun atur utama pada setiap tahun Majlis Kemuncak Sambutan Hari Ulang Tahun Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    Lima elemen utama yang digambarkan dalam poster ilustrasi kontemporari berkenaan ialah Pembawa Bendera Besar, 7 Puak Jati Brunei, Pembaca Utama Ikrar, Persembahan Tradisi dan Pengibar Bendera Perbarisan Lalu.

    Jabatan Perkhidmatan Pos juga akan mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan lima keping setem.

    Produk-produk filateli yang akan dijual adalah Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Bersetem, Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Tanpa Setem, Satu Set Setem iaitu lima setem, Setem Lembaran Mini dan Lembaran Setem Set Penuh (setenant) yang tidak dipotong mempunyai 5×5 baris merangkumi 25 keping setem (set penuh).

    Bermula esok, para penggemar koleksi setem dan orang ramai boleh mendapatkan Setem Tetap bersama Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dengan mengunjungi cawangan-cawangan pejabat pos yang berdekatan dari pukul 8 pagi hingga pukul 3 petang.

    Sementara itu, pada 10 Mac, semasa Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan 2024 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 yang akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, para penggemar koleksi setem dan orang ramai boleh mendapatkan Setem Tetap bersama Sampul Surat Rasmi Hari Pertama di Cawangan Pejabat Pos Bandar Seri Begawan dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi.

    Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Unit Pemasaran, Filateli dan Perhubungan Awam di talian 7291679 atau 2222191 atau e-mel kepada brustamp@post.gov.bn.

    ATAS & BAWAH: Gambar menunjukkan Lembaran Setem Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40, 2024. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERKHIDMATAN POS
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PERKHIDMATAN POS

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lai Ching-te dilantik sebagai presiden Taiwan

    TAIPEI, 20 MEI - Lai Ching-te mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Taiwan pada Isnin, memulakan penggal di mana beliau dijangka meneruskan dasar kemerdekaan de...