Thursday, May 9, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Harga maksimum barangan makanan terpilih ditetapkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) akan melaksanakan Penetapan Harga Maksimum Bermusim (PHMB) ke atas barangan makanan terpilih sepanjang bulan Ramadan hingga minggu pertama Syawal 1445 Hijrah.

    Penetapan harga berkenaan adalah untuk mengekalkan kemampuan dan kemudahan para pengguna bagi memperolehi keperluan semasa musim perayaan.

    JPES dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan inisiatif itu bertujuan untuk menjaga kepentingan pengguna dengan mencegah tindakan yang tidak bertanggungjawab dengan menaikkan harga yang tidak wajar berikutan permintaan yang dijangka akan meningkat semasa musim perayaan, dan bagi mempromosi pasaran yang wajar dan kompetitif di mana para peniaga bersaing berdasarkan kepada kualiti produk dan perkhidmatan masing-masing.

    Sebagai tambahan kepada pelaksanaan kawalan harga secara sepanjang masa ke atas produk minyak masak, susu tepung formula, beras dan gula, senarai harga barangan makanan terpilih berikut akan dikawal harga secara sementara di bawah inisiatif PHMB iaitu ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi, tepung dan susu pekat, cair dan krim.

    Senarai harga maksimum boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau laman sesawang JPES di www.deps.mofe.gov.bn.

    Gambar Freepik
    Gambar Envato

    Para peniaga disarankan untuk mengamalkan persaingan yang sihat dengan menawarkan harga yang kompetitif di bawah harga maksimum yang ditetapkan.

    Tindakan akan diambil ke atas peniaga yang didapati menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan. Ketidakpatuhan akan dikenakan kompaun tidak melebihi $1,000 di bawah Bab 10B, Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

    Bagi kesalahan berulang boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara selama lima tahun.

    Di kesempatan ini, pengguna digalakkan untuk melaporkan sebarang penetapan harga maksimum yang tidak wajar kepada JPES bagi penelitian dan tindakan lanjut, melalui saluran Talian Darussalam 123 atau aplikasi mudah alih PenggunaBijak, dengan menyertakan maklumat lengkap termasuk dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar.

    JPES menekankan komitmen untuk melindungi pengguna dan mempromosi pasaran yang wajar dan telus dengan pelaksanaan PHMB tersebut.

    Jabatan berkenaan juga menyeru para peniaga untuk mematuhi inisiatif berkenaan dan membantu mewujudkan musim perayaan yang menggembirakan dan harga berpatutan untuk semua.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Albanese tolak hujah China dakwa Australia bersalah

    MELBOURNE, 8 MEI - Perdana Menteri Australia Anthony Albanese hari ini menolak hujah China bahawa Australia bertanggungjawab atas pertemuan berbahaya pada hujung minggu antara...