Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Dalam usaha untuk menyediakan platform bagi penyelidik dan usahawan inovatif untuk menyampaikan idea-idea mereka kepada panel pakar industri, Pejabat Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan (IEED), Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengadakan pertandingan Startup Induction Grant (SIG) Pitching di Inspiring Hub, UBD, kelmarin.
Pertandingan berkenaan direka untuk memupuk keusahawanan dan inovasi, memberi maklum balas yang berharga dan akses kepada pembiayaan awal kepada kumpulan peserta serta mengukuhkan lagi ekosistem keusahawanan dalam universiti berkenaan.
Timbalan Pengarah Pembangunan Ekosistem Perusahaan, Dr Annie Dayani Ahad dalam kata alu-aluannya, menekankan bahawa Pelan Tindakan Keusahawanan Strategik UBD digubal untuk melahirkan lebih ramai usahawan graduan berkualiti tinggi sambil melengkapkan mereka dengan kemahiran keusahawanan penting menerusi program inkubasi selama 16 minggu.
Beliau juga mengetengahkan pentingnya memupuk kedayatahanan dan pemikiran inovatif di kalangan pelajar, yang penting bagi kejayaan dalam landskap perniagaan kompetitif masa kini.
Pertandingan berkenaan mengetengahkan kumpulan peserta yang terpilih melalui penilaian dalaman yang ketat semasa INCUFEST 2024 yang diadakan pada 4 hingga 7 November lalu.
Ia merangkumi pelajar-pelajar dari Program Inkubasi Discovery Year, pelajar-pelajar dari School of Digital Science (ZC 4202 module) dan penyelidik-penyelidik akademik daripada pelbagai fakulti.
Pertandingan itu mengetengahkan dua kategori iaitu Pre-Seed yang menganugerahkan 6 geran berjumlah $300 setiap satu kepada kumpulan Hijrah, Hasil, BlueWave, SmartFresh, NetJaga dan Hyperchart.
Sementara itu, kategori Seed dianugerahkan 3 geran berjumlah $1,000 setiap satu kepada kumpulan SmartFresh, NetJaga dan Hasil.
Acara itu turut mengetengahkan pemimpin-pemimpin daripada sektor perniagaan dan teknologi dalam panel hakimnya. Turut hadir semasa pertandingan berkenaan ialah Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan), Dr Haji Masairol Haji Masri.
Pertandingan SIG Pitching tersebut mencerminkan komitmen UBD dalam memupuk inovasi dan bakat keusahawanan melalui pemerkasaan pelajar dan penyelidik dalam menjadikan idea berwawasan mereka kepada usaha yang bermakna, menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan teknologi Negara Brunei Darussalam.